Lebih 1,000 meninggal dunia akibat denggi di Bangladesh
DHAKA: Lebih 1,000 orang di Bangladesh meninggal dunia akibat demam denggi sejak awal tahun ini, rekod paling buruk bagi wabak penyakit bawaan nyamuk di negara berkenaan.
Angka dari Direktorat Jenderal Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) yang dipetik Berita Harian menyatakan 1,006 orang meninggal dunia dalam kalangan lebih 200,000 kes yang disahkan.
Bekas pengarah agensi itu, Be-Nazir Ahmed memberitahu bahawa jumlah kematian setakat tahun ini adalah lebih tinggi daripada setiap tahun sebelumnya, yang digabungkan dari 2000, apabila Bangladesh merekodkan wabak denggi pertamanya.
“Ia adalah insiden kesihatan yang besar, baik di Bangladesh dan di dunia”.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada bulan lalu, berkata wabak itu ‘memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan’ di Bangladesh.
Denggi adalah penyakit endemik di kawasan tropika yang menyebabkan demam teruk, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot dan dalam kes paling serius, pendarahan yang boleh menyebabkan kematian.
WHO, sebelum ini memberi amaran bahawa denggi dan penyakit lain yang disebabkan virus bawaan nyamuk seperti chikungunya, demam kuning dan Zika boleh merebak lebih cepat dan jauh disebabkan perubahan iklim.