2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

LARANGAN WANITA ISLAM MEMAKAI TUDUNG DI INDIA SATU IDEA TIDAK MUNASABAH

TELOK MAS, 2 Mei: Serantau Muslim (SM) melihat larangan oleh Kumpulan nasionalis Hindu, juga merupakan sekutu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang menggesa larangan pemakaian hijab selepas Sri Lanka melarang wanita Islam memakai niqab dan jubah susulan serangan bom yang berlaku di negara itu adalah tidak wajar sama sekali.

 

SM yakin umat Islam di India dan Sri Lanka ketika ini mengalami tekanan hebat akibat tindakan yang tidak munasabah ini.

 

SM ingin menegaskan bahawa mereka yang berpegang pada syariat agama dengan dituntut untuk menutup aurat dan melakukan segala suruhan perintah Allah SWT sememangnya sukar untuk mengikut arahan pemimpin yang tidak berfikiran secara adil kepada semua masyarakat di sana.

 

Dalam isu ini juga, beberapa pemimpin Islam menegaskan bahawa larangan pemakaian tudung mungkin akan mencetuskan tindakan ke atas kebebasan sivil. Ini kerana tuntutan tersebut dibuat bagi mencetuskan kontroversi memandangkan rakyat India yang majoriti beragama Hindu akan mengadakan pilihan raya akan datang.

 

Kira-kira 14 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India adalah beragama Islam.

 

SM percaya jika umat Islam yang betul-betul tidak beriman atau mengikut ajaran terpesong sahaja akan melakukan perkara yang dilarang agama. Walaupun pihak berkuasa Sri Lanka telah mendedahkan sembilan orang individu penyerang yang menyerang hotel dan gereja tersebut, SM merasakan ada kemungkinan pihak lain menjadikan penyerang sebagai ‘kambing hitam’ pihak mereka dan ada yang menjadi dalang sebalik kejadian tersebut bagi mengaburi mata dunia dan mencetuskan ketegangan agama.

 

SM menyeru dunia agar tidak mudah melatah dengan kejadian ini dan sekali tidak menganggap umat Islam sebagai teroris kerana ajaran Islam tidak membenarkan perkara berkenaan berlaku.

 

SM juga mengharapkan pemimpin India dan Sri Lanka tidak berlaku kejam kepada penduduk yang beragama Islam di sana dan sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan yang dilakukan.

 

Dr Raja Ahmad Iskandar Ahmad Yaakob
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim

2 Mei 2019