LARANGAN MEMAKAI SEMUA JENIS PENUTUP MUKA BERMULA: KERAJAAN SRI LANKA
COLOMBO, 30 April: Kerajaan Sri Lanka melarang semua jenis pakaian yang melindungi identiti individu termasuk niqab dan burqa terhadap pelawat dan penduduk.
Langkah sementara itu berkuat kuasa hari ini, dilaksanakan seminggu selepas serangan maut Hari Easter Ahad lalu yang mengorbankan 253 orang termasuk 40 rakyat asing.
Larangan baharu itu yang dikeluarkan pejabat presiden dengan menuntut penduduk tidak lagi dibenarkan menggunakan apa-apa material yang menutup wajah atau melindungi identiti mereka.
Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena menulis di Twitter untuk membuat pengumuman itu.
Dalam bahasa Sinhala, Sirisena berkata: “Adalah dilarang menggunakan semua jenis penutup muka yang melindungi identiti rakyat dalam negara, dilihat sebagai ancaman terhadap keselamatan negara dan awam. Larangan akan berkuat kuasa hari ini (29 April).”
Pertubuhan ulama Islam Sri Lanka, All Ceylon Jamiyyathul Ulama (ACJU), sebelum itu meminta wanita Islam tidak menghalang usaha pasukan keselamatan yang bertanggungjawab mengekalkan keselamatan negara dengan menggesa mereka tidak memakai niqab.
Dalam satu kenyataan Khamis lalu, ACJU berkata: “Kami membuat rayuan bersungguh-sungguh kepada wanita supaya peka terhadap situasi kecemasan kritikal dihadapi negara dan kesukaran dihadapi pegawai keselamatan ketika menjalankan tugas mereka di mana identiti individu tidak dapat dikenal pasti.
Sumber: Berita Harian