LANTANG PERJUANGKAN DEMOKRASI TAPI AS MASIH DIBAYANGI ISLAMOFOBIA
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) yang kononnya lantang memperjuangkan demokrasi masih terpalit dengan sentimen Islamofobia yang menabur prasangka, diskriminasi serta kebencian terhadap Islam.
Situasi itu dapat dilihat baru-baru ini, apabila pemimpin politik, Lauren Boebert mengeluarkan komen berbaur Islamofobia terhadap anggota Kongres, Ilhan Omar di bangunan Capitol sehingga mencetuskan kebimbangan dan ketakutan.
Rentetan itu, puluhan pegawai kepada anggota Kongres beragama Islam menzahirkan bantahan menerusi surat terbuka kepada Dewan Perwakilan AS, Rabu lalu.
Surat itu ditandatangani oleh 62 pegawai beragama Islam di Dewan Perwakilan dan Senat serta 378 ahli bersekutu.
Menerusi surat itu, mereka menolak secara mutlak retorik yang membahayakan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi pegawai di kedua-dua parti.
“Tingkah laku berbahaya ini menormalkan kebencian terhadap seluruh komuniti agama yang lebih sedekad berdepan penghinaan, jenayah kebencian, pengawasan, ketidakpercayaan, diskriminasi dan keganasan,” tulis surat itu.
Kumpulan itu menyatakan, retorik kebencian oleh pegawai awam secara langsung memberi kesan kepada individu lain dan membahayakan keselamatan ketika di tempat kerja mahupun dalam kehidupan seharian.
“Kami merasakan tempat kerja tidak lagi selamat malah seperti tidak dialu-alukan kehadiran kami selepas insiden gangguan yang tidak terkawal terhadap seorang daripada tiga ahli Kongres beragama Islam,” katanya.
UCAPAN KURANG AJAR
Baru-baru ini, sebuah video yang disiarkan dalam Facebook menunjukkan anggota Kongres dari parti Republikan mewakili Colorado, Boebert memberitahu dirinya berasa lega selepas bertemu dengan Ilhan yang ‘tidak membawa beg galas’ di Capitol.
Kenyataan sinis itu secara jelas merujuk kepada Ilhan yang berkemungkinan membawa bom.
“Saya melihat ke kiri dan berkata kepada Ilhan Omar, dia tidak mempunyai beg galas,” katanya dalam video itu sambil ketawa.
Ilhan yang merupakan wanita Islam pertama dipilih ke Kongres menegaskan interaksi itu menimbulkan kecaman meluas dan gesaan daripada parti Demokrat supaya kepepimpinan Dewan melucutkan tugasan jawatankuasanya.
Boebert yang merupakan pendukung setia bekas Presiden AS, Donald Trump yang dipilih ke Kongres tahun lalu, kemudian membuat permohonan maaf ucapannya terhadap Ilhan.
Bagaimanapun, perbualan telefon antara dua wanita itu berakhir secara mengejut selepas Boebert gagal menunjukkan sebarang tanda penyesalan.
Episod terbaharu Islamofobia yang berlaku tahun ini merupakan serangan peribadi terhadap Ilhan termasuk Perwakilan Rashida Tlaib yang merupakan rakyat AS berasal dari Palestin.
Boebert dan perwakilan Republikan lain termasuk Marjorie Taylor Greene berulang kali merujuk kumpulan itu sebagai ‘Skuad Jihad’ sehingga menyebabkan Ilhan dan Rashida menerima ancaman bunuh.
Semasa sidang akhbar minggu lalu, Ilhan mendedahkan rakaman perbualan berbaur rasis dan ancaman bunuh selepas Boebert enggan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya.
Katanya, Speaker Dewan, Nancy Pelosi berjanji akan mengambil tindakan untuk menegur Boebert, 5 Disember lalu, walaupun belum dikenakan sebarang tindakan sehingga sekarang.
“Saya sudah bertemu Speaker Dewan dan saya yakin beliau akan mengambil tindakan minggu depan,” katanya.
Sumber: Utusan