2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
a0d9af8a-61ec-49c9-2bb1-9c9f2636013f
Info Semasa

Kumpulan sayap kanan Hindu halang pelajar bertudung masuk sekolah

KARNATAKA: Protes di Karnakata sejak Selasa lalu semakin memuncak selepas anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kehadiran orang ramai yang berhimpun di kolej negeri itu.

Lapor Al Jazeera, sebuah video yang disiarkan dalam Twitter menunjukkan seorang pelajar Islam berhijab dicemuh oleh perusuh sayap kanan Hindu di sebuah kolej sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Pengharaman pemakaian tudung menimbulkan kemarahan pelajar Islam kerana merupakan serangan terhadap kepercayaan mereka yang termaktub dalam Perlembagaan sekular India.

Kumpulan sayap kanan Hindu cuba menghalang wanita Islam memasuki institusi pendidikan sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum.

Seorang pelajar, Muskan Khan berkata, dia hanya berada di kolej itu kerana mahu menghantar tugasan yang diberikan oleh gurunya.

“Namun, mereka menghalang saya masuk disebabkan saya memakai tudung.

“Selepas itu, mereka menjerit slogan ‘Jai Shri Ram’ dan saya membalasnya dengan ‘Allahu Akbar’.

“Hanya 10 peratus peserta protes adalah dari kolej itu, manakala, selebihnya adalah orang luar,” katanya kepada saluran berita NDTV.
 

SEKOLAH TUTUP
 

Ketua Menteri, Basavaraj Bommai merayu kepada semua pihak supaya kekal bertenang selepas mengumumkan semua sekolah menengah di negeri itu ditutup selama tiga hari.

“Saya merayu kepada semua pelajar, guru serta pengurusan sekolah dan kolej kekal berada dalam keadaan tenang dan harmoni,” katanya.

Bulan lalu, pelajar di sekolah tinggi kerajaan itu dimaklumkan supaya tidak memakai tudung.

Sejak itu, kumpulan berhaluan kanan Hindu cuba menghalang wanita Islam memakai tudung daripada memasuki institusi pendidikan di negeri itu.

5 Februari lalu, Kerajaan Karnataka mengeluarkan arahan semua sekolah perlu mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Menteri Pendidikan Karnataka, BC Nagesh yang memuat naik ciapan mengenai arahan itu menjelaskan, etika pemakaian di sekolah ditetapkan selepas menyemak keputusan mahkamah dari seluruh negara yang mengharamkan pemakaian tudung di institusi pendidikan.

Konfrontasi semakin meningkat di kawasan kolej selepas pelajar Islam mengecam larangan tersebut, manakala, pelajar Hindu memaklumkan rakan sekelas mereka mengganggu proses pendidikan berjalan lancar.

Seorang pelajar dari Kolej Memorial Mahatma Gandhi di Udupi berkata, gurunya bertindak menyingkirkan dirinya daripada menduduki peperiksaan kimia kerana memakai tudung.

“Tiba-tiba, mereka cakap tidak perlu pakai tudung. Kenapa sekarang?

“Kami bukannya menentang sebarang agama. Kami tidak menentang sesiapa kerana ini adalah hak kami,” luahnya.

Pejuang pendidikan di Pakistan, Malala Yousafzai menggelar larangan bertudung itu sebagai ‘mengerikan’ menerusi Twitter rasminya.

Beliau menggesa pemimpin India menghentikan segera diskriminasi terhadap wanita Islam.

Sumber: UM