KUMPULAN EKSTREMIS YAHUDI MENYAMAR JADI ORANG ISLAM UNTUK CEROBOH MASJID AL-AQSA
BAITULMUQADDIS: Kumpulan ekstremis Yahudi sanggup menyamar sebagai penduduk beragama Islam hanya untuk memasuki Temple Mount di dalam Masjid al-Aqsa untuk beribadat.
Kumpulan itu didakwa membaca doa mereka secara senyap-senyap sambil melakukan tata cara solat orang Islam.
The Times of Israel melaporkan, kumpulan haluan kanan yang dinamakan sebagai ‘Kembali ke al-Aqsa’ itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa Israel dan Palestin.
Pelbagai pihak bimbang sekiranya perbuatan mereka akan mencetuskan konflik keganasan di tapak suci tersebut.
Temple Mount dikenali sebagai Haram al-Sharif atau Masjid al-Aqsa bagi penduduk Islam dan ia merupakan tapak paling penting untuk masyarakat Yahudi, selain menjadi masjid ketiga paling suci untuk umat Islam.
Berdasarkan persetujuan yang dicapai selepas Israel menceroboh Baitulmuqaddis pada 1967, orang Yahudi dibenarkan mengunjungi al-Aqsa, namun tidak boleh beribadat di situ.
MENIPU JADI ISLAM
Di sebuah pangsapuri di Baitulmuqaddis, kumpulan itu aktif mengajar dan melatih anggotanya mengenai bagaimana menyamar sebagai orang Islam.
Anggota kumpulan itu dikehendaki berpakaian seperti orang Islam, membawa sejadah, tasbih dan kitab berbahasa Arab untuk memasuki al-Aqsa.
Ada juga dalam kalangan ahli kumpulan itu mewarnakan rambut dan janggut mereka dengan warna lebih gelap bagi menyerupai penduduk Palestin.
Ketua kumpulan itu, Raphael Morris berkata, mereka perlu melakukan demikian bagi tidak menimbulkan syak wasangka kepada polis, penduduk Islam dan Majlis Hal Ehwal Waqf Islam.
Anggota kumpulan itu turut diajar bagaimana meniru gerakan solat orang Islam tapi pada masa yang sama membaca bacaan agama mereka.
TIDAK MAHU MENGALAH
Morris menegaskan, mereka sanggup buat apa sahaja untuk beribadat di dalam al-Aqsa, biarpun mungkin ditangkap pihak berkuasa.
Katanya, lebih ramai anggota kumpulan itu akan menggunakan pendekatan ini untuk masuk ke al-Aqsa dan lama-kelamaan, pihak berkuasa ‘akan mengalah dan membiarkan mereka beribadat dengan tenang’.
“Misi kami adalah untuk membolehkan orang Yahudi beribadat di al-Aqsa setiap masa tanpa sebarang sekatan,” katanya.
Selain itu, Morris menafikan tindakan dia dan kumpulannya menyalahi undang-undang, sebaliknya menyifatkannya sebagai terbuka dan bakal diterima pihak berkuasa Zionis.
Dia menjelaskan, sekiranya berlaku insiden tidak diingini selepas memasuki al-Aqsa, mereka akan menghubungi polis, sekali gus menolak tindakan kumpulannya bakal mencetuskan konflik.
“Kami bersedia lakukan apa sahaja, asalkan dapat beribadat di Temple Mount,” ujarnya.
SEKATAN PIHAK BERKUASA
Polis Israel dilaporkan bertungkus-lumus menghalang pergerakan kumpulan tersebut dan kebanyakan anggotanya sering diberi perintah larangan oleh mahkamah supaya tidak memasuki al-Aqsa, selain dipenjara selama beberapa hari.
Dianggarkan setiap minggu anggota kumpulan itu akan menceroboh al-Aqsa menggunakan pintu yang digunakan penduduk Islam untuk menunaikan solat di masjid tersebut.
Pihak berkuasa juga dilaporkan cuba menyembunyikan perkara itu bagi mengelakkan konflik keganasan berlaku memandangkan al-Aqsa sering menjadi saksi kepada pertempuran antara penduduk Palestin dengan polis Israel.
Sumber: UM