2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

Krisis kelaparan Yaman terburuk, lebih parah jika tidak dibantu

GENEVA: Penganjur persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran krisis kelaparan di Yaman akan bertambah buruk sekiranya Ukraine tidak diberikan sumbangan.

PBB menganggap situasi di Yaman yang dilanda perang adalah bencana kemanusiaan terburuk di dunia, namun peruntukan untuk menghalang perkara lebih buruk kini semakin habis.

“Hari ini kita bermesyuarat untuk menutup jurang yang besar dalam pembiayaan bagi tindakan menyelamatkan nyawa.

“Perang itu sudah memasuki tahun ketujuh dan akan berterusan. Ekonomi berada dalam kehancuran. Perkhidmatan asas semakin merudum.

“Tahun ini mereka memerlukan hampir AS$4.3 bilion (RM18 bilion) untuk membantu lebih 17 juta orang di seluruh Yaman,” kata ketua kemanusiaan PBB, Martin Griffiths kepada pemberita.

Beliau berkata, memandangkan pembiayaan semakin berkurangan sejak akhir tahun lalu, agensi bantuan juga terpaksa memotong atau menghentikan perkhidmatan makanan dan kesihatan.

“Hari ini kami berharap dapat mengumpul wang untuk memudahkan penyaluran bantuan makanan, menyimpan stok klinik kesihatan dan menyediakan tempat perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal.

“Selain itu, ia juga untuk menghantar mesej kepada orang-orang di Yaman bahawa kami tidak melupakan mereka,” kata Griffiths.

Diplomat Britain itu berkata, pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine, yang dilancarkan bulan lalu, akan memberi impak sekunder yang meluas.

“Ia sudah tentu akan memudaratkan kehidupan ramai rakyat Yaman,” katanya yang memberitahu, negara itu bergantung hampir sepenuhnya kepada import makanan, dengan hampir satu pertiga daripada bekalan gandumnya datang dari Ukraine.

PBB mendedahkan, daripada 31.9 juta penduduk di Yaman, 23.4 juta memerlukan bantuan kemanusiaan dengan 12.9 juta daripadanya dalam keadaan terdesak.

Yaman mengalami perang yang dahsyat sejak 2014, menentang pemberontak Huthi yang disokong Iran bagi menentang kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, disokong oleh pakatan tentera diketuai Arab Saudi.

Ratusan ribu terbunuh sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam peperangan, dan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, tahap kelaparan boleh menjadi bencana sekiranya krisis Ukraine bakal menaikkan harga makanan.

Persidangan hari ini dianjurkan bersama oleh agensi kemanusiaan PBB, Switzerland dan Sweden.

“Memandangkan Ukraine membuatkan kita sangat sibuk dan menjadi kebimbangan besar, adalah penting agar tiada krisis lain menjadi krisis yang dilupakan,” kata ketua bantuan kemanusiaan Switzerland, Manuel Bessler.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian, WFP dan agensi kanak-kanak UNICEF melalui satu kenyataan bersama berkata, keadaan kemanusiaan dijangka bertambah buruk antara Jun dan Disember depan.

“Krisis kebuluran Yaman yang sudah teruk kini semakin parah, dengan 17.4 juta orang memerlukan bantuan makanan dan sebahagian besar penduduk menghadapi tahap kecemasan kelaparan,” tiga agensi PBB itu memberi amaran.

WFP berkata, bilangan mereka yang memerlukan bantuan makanan juga meningkat sebanyak 1.2 juta sepanjang tahun lalu dan dijangka mencecah 19 juta orang pada separuh kedua 2022.

“Kami sedang melihat krisis kelaparan seismik jika tidak bertindak sekarang. Pembiayaan untuk Yaman tidak pernah sampai ke tahap ini. Kami tidak mempunyai pilihan selain mengambil makanan daripada orang yang kelaparan untuk memberi makan kepada mereka yang kebuluran,” kata pengarah eksekutif WFP David Beasley.

Sumber: BH