Info SemasaKenyataan Media

KOMUNITI ISLAM POLAND BANTU PENDATANG ‘TERPERANGKAP’ DI SEMPADAN BELARUS-POLAND

BOHONIKI: Terkesan dengan penderitaan yang terpaksa ditanggung golongan pendatang yang cuba memasuki Belarus, seorang ketua komuniti Islam di timur Poland segera menghulurkan bantuan.

Maciej Szczęsnowicz berkata, dia tidak sanggup melihat golongan pendatang, terutamanya warga emas dan kanak-kanak duduk dalam kesejukan dan kelaparan di kawasan sempadan.

Sehubungan itu, Szczęsnowicz dan kumpulan sukarelawan menyediakan bekalan makanan untuk diberikan kepada golongan pendatang tersebut, termasuk pasukan keselamatan yang berkawal.

“Suara tangisan kanak-kanak yang lapar buat saya tidak senang duduk. Kita di sini dapat menikmati makanan sedap dan mengenyangkan, namun mereka duduk dalam kesejukan dan lapar.

“Apa yang saya dan kumpulan sukarelawan lakukan ini adalah demi kemanusiaan tanpa membezakan bangsa dan agama,” katanya.

Terdahulu, ribuan pendatang dari Asia Barat yang majoritinya beragama Islam ‘berkampung’ di sempadan Poland dan Belarus.

Keadaan itu mencetuskan ketegangan antara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) apabila Barat menuduh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko sengaja cetuskan krisis dengan menggalakkan kemasukan pendatang ke negara itu dan membawa mereka ke sempadan.

Dalam pada itu, Szczęsnowicz menzahirkan kebimbangan lebih ramai pendatang, terutamanya kanak-kanak dan warga emas berisiko untuk mati akibat cuaca sejuk melampau. 

Sumber: Utusan