2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

KHEMAH PELARIAN SYRIA DI LUBNAN TERBAKAR

BEIRUT: Khemah pelarian Syria di utara Lubnan terbakar malam tadi selepas pergaduhan tercetus di antara penghuni kem pelarian dengan keluarga Lubnan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengesahkan kebakaran besar berlaku di kem pelarian terletak dekat wilayah Miniyeh dan beberapa orang cedera dihantar ke hospital.

“Kem pelarian itu didiami 75 keluarga. Kebakaran merebak ke semua khemah yang dibina menggunakan plastik dan kayu,” kata jurucakap UNHCR, Khaled Kabbara.

Agensi Berita Kebangsaan (NNA) melaporkan kebakaran tercetus selepas pertelingkahan di antara ahli keluarga Lubnan dengan pekerja Syria.

Laporan itu menyatakan seorang pemuda daripada keluarga Lubnan kemudian membakar khemah pelarian.

Pertahanan Awam Lubnan berusaha memadam kebakaran manakala tentera dan polis dikerah ke lokasi untuk mengawal keadaan.

Sumber keselamatan memberitahu, pertelingkahan berlaku di kawasan Bhanine apabila pekerja Syria menuntut gaji mereka dibayar tetapi tidak dilayan majikan.

Bagaimanapun, sumber yang sama kemudian berkata, kekecohan tercetus selepas seorang wanita Syria dikatakan diganggu.

Sementara itu, Kabbara berkata, beberapa keluarga keluar dari kem berkenaan kerana berasa bimbang berikutan terdengar bunyi letupan tong gas disebabkan kebakaran itu.

Lubnan sebelum ini mendakwa mereka menerima 1.5 juta pelarian Syria termasuk satu juta yang berdaftar dengan UNHCR. 

Sumber: Berita Harian