Ketua PBB ‘sangat tertekan’ dengan rancangan Israel kepung Gaza
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata beliau “sangat tertekan” dengan pengumuman Israel yang akan memulakan pengepungan sepenuhnya di Semenanjung Gaza berikutan serangan pejuang Hamas ke atas rejim itu Sabtu lalu.
“Saya amat tertekan dengan pengumuman hari ini bahawa Israel akan memulakan pengepungan sepenuhnya di Semenanjung Gaza, tiada apa yang dibenarkan masuk – tiada elektrik, makanan atau bahan api,” kata Guterres.
Memetik laporan dari Berita Harian, tentera Israel berkata ia telah mengerah 300,000 anggota pasukan simpanan yang belum pernah berlaku sebelum ini dan mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan Hamas.
Guterres berkata keadaan di Gaza sebelum serangan mengejut Hamas sudah “amat teruk” dan tindak balas Israel akan menyebabkan keadaan lebih buruk.
Sambil menyatakan peralatan perubatan, makanan dan bekalan serta kakitangan kemanusiaan lain diperlukan, Guterres berkata bantuan dan kemasukan bekalan penting ke kawasan itu mesti dipermudahkan.
“Saya menggesa semua pihak dan pihak berkaitan membenarkan akses PBB untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan segera kepada orang awam Palestin yang terperangkap dan tidak berdaya di Semenanjung Gaza,” katanya sambil merayu masyarakat antarabangsa menggerakkan segera sokongan kemanusiaan.
Israel dihujani serangan roket yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada pagi Sabtu. Tentera Israel mendakwa Hamas melancarkan lebih 3,000 roket, sambil menambah bahawa berpuluh-puluh tentera Hamas menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel.
Israel bertindak balas dengan pengeboman paling hebat ke atas Gaza dan mungkin mempertimbangkan serangan darat ke atas wilayah itu selepas 38 tahun pendudukan.
“Serangan oleh Hamas menyebabkan 800 rakyat Israel terbunuh dan lebih 2,500 cedera, menurut Guterres, yang maklum mengenai laporan membimbangkan lebih 500 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 3,000 cedera akibat serangan udara Israel.