PEMBUNUHAN AS-SYAHID ISMAIL HANIYEH: SATU GUGUR JUTAAN AKAN BANGKIT
Serantau Muslim bersama seluruh rakyat Malaysia menzahirkan rasa sedih dan dukacita tentang laporan berkaitan Ketua politik pasukan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh yang mati dibunuh di Tehran, Iran sebentar tadi.
Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ini yang sudah pasti didalangi oleh penjajah Zionis yang zalim dan jahat. Seperti kita sedia maklum, penjajah Zionis telah lama menyasarkan pembunuhan terhadap Allahyarham dan pemimpin tertinggi Hamas yang lain.
Serantau Muslim menggesa rakyat Malaysia dan seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ini. Kita perlu sama-sama menzahirkan suara kemarahan dan kebersamaan kita terhadap perjuangan Palestin.
Kami yakin pembunuhan ini akan menjadi faktor kebangkitan seluruh dunia dalam menentang kejahatan dan kedurjanaan Zionis Israel. Kami yakin masyarakat dunia tanpa mengira bangsa dan agama menentang pembunuhan ini.
Semangat dan perhatian dunia terhadap Palestin telah pun sedikit kendur kebelakangan ini disebabkan kelicikan Zionis menormalisasikan kezaliman dan pembunuhan, namun dengan pembunuhan Ismail Haniyeh akan membangkitkan lagi semangat dan perhatian masyarakat dunia.
Dalam detik yang penting ini, kami ingin mengajak seluruh masyarakat dunia untuk memperingati dan menghormati legasi Ismail Haniyeh dengan menyokong cadangan beliau untuk menjadikan 3 Ogos sebagai Hari Solidariti Gaza Sedunia. Ini adalah masa yang tepat untuk kita bersatu dan menunjukkan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.
Kami percaya bahawa pembunuhan Ismail Haniyeh bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan baru dalam perjuangan Palestin. Seperti kata pepatah, “Satu gugur, seribu akan bangkit.” Kematian Haniyeh akan melahirkan ribuan pejuang baru yang akan meneruskan perjuangan beliau. Ini adalah detik penting di mana kita akan menyaksikan kebangkitan semangat perjuangan yang lebih kuat di kalangan rakyat Palestin dan penyokong mereka di seluruh dunia.
Marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan untuk keamanan dan keadilan di Palestin, sepertimana yang diperjuangkan oleh Ismail Haniyeh sepanjang hayatnya. Kematian beliau tidak akan sia-sia, sebaliknya akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar.
Sekian, terima kasih.
Dr Muhamad Azrin Omar
Timbalan Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim
31 Julai 2024 | Rabu