Kenyataan Media

Kenyataan Media 25 April 2018

Artikel SERANTAU MUSLIM
25 April 2018

Nasib Minoriti Islam di Selatan Filipina
Oleh: Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor

Hari ini saya terpanggil untuk menulis tentang nasib saudara se-Islam kita di selatan Filipina. Saya merasakan berita tentang umat Islam di selatan Filipina dilihat kian sendu di dada-dada akhbar pada hari ini. Saya melihat perjuangan kebebasan bangsa Moro mendapatkan hak kemerdekaan sejak abad ke-15 seolah-olah tiada erti khusus kerana perlu berdepan dengan penjajah demi penjajah. Pada awalnya, majoriti penduduk di Selatan Filipina adalah Islam, namun kini hampir mereka telah menjadi minoriti kerana 90% telah meninggalkan kampung halaman kerana rentetan keadaan tidak selamat di tempat asal mereka.

Menurut sejarah, pada 16 Mac 1512, kononnya satu ‘ekspedisi ilmiah’ oleh Ferdinand de Magellans telah tiba di Filipina. Dalam pada itu, hasrat kolonial Sepanyol adalah ingin menakluki kedua-dua wilayah utara dan selatan Filipina. Namun, tidak semudah yang seperti yang disangka kerana mereka tidak dapat menawan selatan Filipina dengan mudah, mereka terpaksa berdepan dengan pejuang-pejuang Islam yang ketika itu gigih, berani dan pantang menyerah kalah sehingga mereka terpaksa menghabiskan 375 tahun melawan muslimin.

Hal ini terjadi kerana selatan Filipina pada mulanya didiami oleh Majoriti Islam, namun peningkatan jumlah penduduk di utara Filipina telah membawa kepada keadaan dimana kerajaan Filipina menggalakkan penduduk yang kebanyakan penganut agama Kristian berpindah ke selatan Filipina. Senario ini telah membawa ketegangan antara kedua belah pihak dan kebangkitan perasaan oleh majoriti Islam di sana.

Keadaan tegang ini berlaku pada tahun 1578 kerana campur tangan kolonial Sepanyol sehingga muncul ‘misi suci’antara orang Filipina sendiri. Saya melihat keadaan ini telah membawa perasaan curiga dan benci terhadap bangsa Moro oleh orang bukan Islam (penganut Kristian) sehingga ke hari ini sehingga bangsa Moro digelar orang buta huruf dn pembunuh.

Walaupun Sepanyol tidak dapat menakluki wilayah tersebut, Sepanyol secara tidak bermoral telah menjual Filipina kepada Amerika Syarikat pada tahun 1898. Saya melihat pendekatan yang berbeza dilakukan oleh Amerika Syarikat telah melemahkan bangsa Moro, dengan menjanjikan kebebasan beraga, bersuara dan mendapatkan pendidikan melalui Perjanjian Bates pada 20 Ogos 1898. Kelicikan pihak luar ini telah membawa kepada penjahan terbuka di wilayah berkenaan. Banyak pertempuran berlaku dan banyak aktiviti jualan tanah berlaku oleh Amerika Syarikat untuk keperluan kapitalis.

Dalam pada itu, bangsa Moro telah berjuang untuk membebaskan pulau Mindanao demi menjadikan kerajaan sendiri di bawah Pergerakan Kemerdekaan Mindanao (MIM). Pada tahun 1971, Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) pula ditubuhkan oleh Nur Misuari dan Selamat Hashim. Namun, kerana keperberbezaan pembawakan fahaman iaitu keagamaan oleh MILF dan sekular oleh MNLF.

Persengketaan antara dua fahaman berbeza dalam kalangan bangsa Moro sendiri telah membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan ketidakadilan terhadap bangsa Moro. Perpecahan seterusnya berlaku terhadap MNLF dan kelompok Abu Sayyaf pimpinan Abdurrazak Janjalani pada tahun 1993 terbentuk. Ketika itu, saya melihat kekuatan bangsa Moro menjadi lemah secara keseluruhan dan ketika itu pemerintah Filipina menyusun strategi menghadapi bangsa Moro.

Rentetan isu pembunuhan anak muda pada tahun 1968, bangsa Moro bangkit sekali lagi dengan menubuhkan barisan menentang penindasan kerajaan Filipina. Sekitar 18 tahun yang lalu, difahamkan melalui beberapa sumber bahawa hampir 100,000 pelarian dari selatan Filipina berpindah ke Sabah mencari kehidupan yang lebih aman.

Saya yakin dan percaya, jika bangsa Moro tidak berpecah dan dapat berunding secara baik pada awalnya, keadaan tegang antara orang Islam di Filipina tidak akan terjadi. Oleh hal yang demikian, saya sering mengingatkan bahawa semua orang Islam harus bersatupadu demi menjadi umat yang dikagumi oleh penganut agama yang lain. Secara tidak langsung, dapat menarik orang bukan Islam untuk menghayati keindahan Islam.

Oleh sebab inilah, saya terpanggil untuk menjaga kebajikan minoriti Islam sehingga hari ini. Sedikit sebanyak, saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain dapat berbakti melalui sumbangan tenaga, ilmu dan bantuan berbentuk fizikal kepada minoriti Islam.

Saya ingin menyatakan bahawa Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM juga memberikan fokus kepada nasib muslim minoriti di ASEAN, bukan sahaja menjuarai isu rohingya, bahkan isu di negara lain seperti di selatan Filipina ini turut menjadi radar sasaran fokus SERANTAU MUSLIM dalam membela kebajikan dan hak mereka.

Hal ini dibuktikan misi korban yang telah diadakan di Marawi. Saya dan rakan-rakan telah mengadakan misi tersebut pada tahun lepas dan secara tidak langsung dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat yang hidup dalam ketakutan dan sepatutnya tidak boleh berlaku.

Saya percaya setiap masalah mestilah melalui rundingan dan perbincangan khas bagi mengelakkan pertikaian demi pertikaian pada masa akan datang. Walaupun pada akhir tahun 2017, Presiden Rodrigo Duterte mengatakan penentangan yang berlaku di Filipina berada pada tahap akhir hujung tahun yang lalu tetapi kekhuatiran saya masih ada kerana belum tentu akan berakhir sepenuhnya lebih-lebih lagi peperangan yang berlaku di Marawi dibantu oleh Amerika Syarikat.

Saya percaya bahawa orang luar sering ‘mengganggu’ kehidupan orang Islam kerana mereka tidak senang melihat Islam berada di bumi ini. Saya sangat bimbang akan nasib saki baki minoriti Islam di sana kerana militan masih melancarkan serangan terutaman di Selatan Filipina yang menjadi pengkalan penduduk minoriti Islam.

Kerisauan saya ditambah dengan serangan di Marawi yang telah musnahkan perkampungan Islam oleh Presiden Filipina yang juga pengerusi Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), dengan alasan memerangi Daesh, tetapi yang menjadi mangsa adalah orang awam.

Pada masa yang sama, saya melihat industri pelancongan yang menjadi antara pendapatan utama masyarakat muslim turut terjejas di negara 1,000 pulau itu susulan krisis panjang ini masih berlarutan.

Saya amat berharap Filipina tidak hanya mengikut telunjuk orang asing dalam mentadbir negara sendiri dan perlu mengambil langkah kemas agar hak sama rata untuk rakyat yang berbeza fahaman agama dan politik dapat diberi kesaksamaan sewajarnya.

Akhir kalam, saya suka mengingatkan diri dan semua untuk menghayati Firman Allah dari Surah ar-Rum, ayat 31-32 iaitu “Ertinya: Janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, yaitu orang-orang yang memecahbelah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”.
Sentiasalah kita bantu membantu antara satu sama lain kerana “Persaudaraan Rentas Sempadan”.

Penulis adalah Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM