Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 15 Januari 2019

NASIB WARTAWAN DIBAWAH TAHANAN MYANMAR HARUS DIBELA SEADILNYA

SERANTAU MUSLIM berasa terkesan dengan tindakan kerajaan Myanmar yang tidak telus selepas menahan dua orang wartawan Reuters semasa bertugas dalam satu siasatan mengenai pembunuhan 10 orang lelaki dan budak Islam Rohingya oleh pasukan keselamatan dan penduduk Buddha tempatan di daerah Rakhine, Myanmar Ogos 2017 yang lalu.

Kedua-dua wartawan Wa Lone, 33 tahun dan Kyaw Soe Oo, 29 tahun telah ditahan dan dipenjarakan kerajaan Myanmar pada September 2017 kerana disabitkan dengan kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi Myanmar.

SERANTAU MUSLIM turut berasa simpati dengan nasib kedua-dua wartawan tersebut kerana dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun sehingga terpaksa mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap keluarga sendiri.

Kini, mahkamah Myanmar telah menolak rayuan berhubung pensabitan Akta Rahsia Rasmi selepas dibuat oleh wakil wartawan tersebut, Presiden dan Ketua Pengarang Reuters, Stephen J. Adler.

Dalam isu ini juga, SERANTAU MUSLIM percaya bahawa penahanan wartawan ini adalah satu perangkap oleh pihak-pihak tertentu bagi menutup segala laporan jenayah yang dilakukan kerajaan Myanmar, bukan sebaliknya seperti didakwa telah melanggar Akta Rahsia Rasmi kerajaan Myanmar.

Hal ini turut dinyatakan Presiden dan Ketua Pengarang Reuters, Stephen J. Adler. Beliau menyatakan bahawa ketika pihak mahkamah mengecam tindakan kedua-dua wartawan tersebut sebagai pengintip, pihak mahkamah telah mengabaikan bukti bagi satu perangkap polis, pelanggaran yang serius dan kegagalan pendakwa raya membuktikan mana-mana elemen jenayah.

Dalam masa yang sama, tindakan kerajaan Myanmar itu juga mendapat tentangan daripada melihat diplomat dan badan hak asasi manusia kerana mengabaikan sistem demokrasi.

SERANTAU MUSLIM berharap Myanmar dapat membuat keputusan sewajarnya dan mengadili kes penahanan wartawan tersebut sebaiknya kerana ia melibatkan perjuangan hak asasi manusia.

SERANTAU MUSLIM ingin sekali lagi menegaskan bahawa undang-undang Myanmar yang digubal pada tahun 1923 itu dapat disemak semula dan perlu diadili mengikut dengan keadaan semasa.

SERANTAU MUSLIM juga menyeru kerajaan Myanmar agar tidak menafikan jenayah yang dilakukan dan media berhak melaporkan berita yang benar serta tepat terutamanya berkenaan isu yang membabitkan hak asasi manusia.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Muhammad Faeez Azahar
Pengarah Media dan Komunikasi,
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM