2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
ADVOKASIKenyataan Media

KENYATAAN MEDIA 14 MAC 2019

POLIS ISRAEL GANGGU UMAT ISLAM MENUNAIKAN SOLAT DI MASJID AL-AQSA

Serantau Muslim (SM) melahirkan rasa kesal terhadap tindakan polis Israel yang menggunakan kekerasan terhadap penduduk Palestin yang berkumpul di luar Bab al-Asbat untuk menunaikan solat di dalam dan di perkarangan Masjid al-Aqsa. Polis Israel juga telah melarang laungan azan dari dalam masjid dan menutup pintu masjid agar umat Islam di sana tidak dapat menunaikan solat di dalam masjid tersebut.
 
SM difahamkan polis Israel turut menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa dan menyerang beberapa tokoh agamawan Islam. Antara yang dilaporkan diserang polis Israel adalah Pengarah Masjid al-Aqsa, Omar Kiswani dan pemangku Hakim Tertinggi Mahkamah Agama Baitulmuqaddis.
 
SM menyelar tindakan biadap polis Israel yang menutup semua pintu masuk ke Al-Aqsa dan ia sekali gus menghalang kebebasan umat Islam untuk menunaikan solat di tempat suci umat Islam sendiri.
 
Dalam insiden yang membangkitkan kemarahan umat Islam itu, kira-kira 10 orang penduduk Palestin telah tercedera.
 
Dalam pada itu, SM tertanya-tanya dimanakah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika hak untuk menunaikan kewajiban beragama dicabuli? Dimanakah badan badan Hak Asasi Antarabangsa apabila hak untuk beragama ini dinafikan? Hal ini kerana tindakan sebegini adalah tidak wajar sama sekali kerana menggugat keamanan umat Islam dan melanggar hak asasi manusia.
 
Justeru, SM menyeru pihak komuniti antarabangsa mendengar seruan Mahmoud Abbas, Presiden Palestin untuk menghalang tindakan Israel yang mencabuli kesucian tempat ibadat umat Islam secara berterusan. SM juga turut menyeru badan berkuasa di peringkat dunia terutama PBB dan Majlis Keselamatan PBB dapat menggunakan kuasa mereka dengan sewajarnya untuk mengembalikan keamanan dan hak rakyat Palestin daripada dicemari kuasa penjajahan Israel.
 
[Layari untukmupalestin.com, Tabung Kemanusiaan Palestin Serantau Muslim, Maybank : 564100423082] 
‘Persaudaraan Rentas Sempadan’
 
Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim