KENYATAAN MEDIA 02 MEI 2018
Kenyataan Media SERANTAU MUSLIM
02 Mei 2018 | Majlis Keselamatan PBB Lawat Pelarian Rohingya
Sebelum ini, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melihat pelbagai alasan yang diberikan pihak Myanmar terhadap cadangan kunjungan duta PBB ke sana. Namun, perubahan pendirian Myanmar berubah arah pada awal April lalu dan kini ‘lampu hijau’ diberikan kepada deligasi ini.
Terkini, laporan media menyatakan seramai 15 orang yang terdiri daripada deligasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) telah turun padang dan melihat sendiri impak ke atas krisis pelarian Rohingya. Wakil UNSC tersebut telah mengunjungi kem pelarian di Bangladesh yang kini menempatkan lebih kurang 700,000 pelarian Rohingya. Pada masa yang sama, wakil UNSC turut mendengar rintihan minoriti Islam dan melihat penunjuk perasaan yang diadakan oleh ratusan etnik Rohingya sambil memegang poster bagi mendesak keadilan.
SERANTAU MUSLIM memuji sikap prihatin wakil UNSC kerana sanggup turun padang telah melihat sendiri keadaan sebenar pelarian Rohingya di kem pelarian tersebut walaupun kesakitan dan penderitaan etnik ini telah lama dirasai mereka. Diharap dengan kehadiran deligasi ini dapat meredakan sedikit emosi pelarian etnik ini.
Disamping itu, SERANTAU MUSLIM turut menyokong deligasi yang diwakili anggota tetap dari Amerika Syarikat, Russia, China, Britain dan Perancis itu kerana terus mendesak Rakhine agar menerima etnik teraniaya di dunia itu kembali ke kampung halaman masing-masing dan menamatkan diskriminasi terhadap etnik Rohingya.
SERANTAU MUSLIM berharap desakan terhadap wakil UNSC tersebut akan disusuli dengan tindakan yang berani bagi menghalang kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap etnik Rohingya di Myanmar pada masa akan datang. Sebelum etnik Rohingya dibawa pulang, SERANTAU MUSLIM mencadangkan Kad Pengesahan Kebangsaan (dokumen yang tidak mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya sepenuhnya) diganti dengan kad pengenalan diri yang akan memberikan jaminan sepenuhnya terhadap perlindungan keselamatan dan hak sama rata kepada etnik Rohingya.
SERANTAU MUSLIM turut merasakan bahawa pentingnya satu perjanjian untuk diwujudkan dan dimeterai demi memberi jaminan keselamatan etnik Rohingya di Rakhine. Jika benar, pelarian Rohingya akan dihantar pulang, SERANTAU MUSLIM menggesa PBB agar mewujudkan pasukan khas yang dapat memantau proses kepulangan dan keberadaan etnik Rohingya pada masa akan datang di Rakhine, Myanmar. Hal ini dapat memberi jawapan terhadap apa yang bakal berlaku kepada etnik ini setelah dibawa pulang, sama ada akan dilayan secara bermaruah atau sebaliknya.
SERANTAU MUSLIM berharap kunjungan deligasi diplomat kanan tersebut telah membuatkan masyarakat global ‘buka mata’ terhadap apa yang telah menimpa etnik Rohingya semasa mereka berada di Myanmar dan bukannya rekaan semata.
SERANTAU MUSLIM menyeru semua umat Islam dari seluruh negara agar sentiasa berusaha dalam membantu umat Islam yang sengsara di tanah air sendiri agar kembali seperti sedia kala dan terus menerus berdoa demi kesejahteraan mereka kerana kita sentiasa berpegang pada semangat “Persaudaraan Rentas Sempadan”
Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM