2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

KELUARGA TAHANAN PALESTIN BIMBANG PENULARAN COVID-19 DI PENJARA ISRAEL

RAMALLAH – Ketika perintah berkurung berkuatkuasa di Tebing Barat dan Israel akibat penularan wabak koronavirus, warga Palestin bimbang keadaan saudara mereka yang ditahan di penjara Israel.

Kebimbangan itu susulan laporan mengenai perpindahan tahanan dari penjara Ashkelon selepas doktor mengesyaki tahanan terbabit dijangkiti virus itu.

Menurut Palestinian Prisoner Society (PPS), 19 daripada 35 banduan ditahan bersama tahanan terbabit terus diasingkan pada Jumaat.

“Kita mendapat pengesahan daripada peguam terbabit bahawa pengasingan itu telah berakhir dan situasi semakin stabil,” kata jurucakap PPS, Amany Sarahneh memberitahu agensi berita Anadolu.

“Bagaimanapun, kita masih bimbang dengan situasi di penjara kerana kurangnya langkah pencegahan di dalam penjara,” katanya.

Di penjara Al-Maskobiya di Baitulmaqdis, pihak berkuasa Israel mengasingkan 100 tahanan selepas seorang pengawal disyaki dijangkiti virus itu.

Pihak berkuasa memberitahu peguam PPS bahawa kuarantin telah berakhir dan ujian menunjukkan keputusan negatif, kata Sarahneh.

Kumpulan itu berkata 200 tahanan Palestin kini mengalami penyakit kronik yang mengancam nyawa susulan penularan virus di penjara.

Menurut pihak berkuasa Palestin, 5,000 warga Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, kini ditahan di penjara-penjara Israel.

Sumber: Berita AlHijrah