2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

KASHMIR, KEMENANGAN HINDU KE ATAS ISLAM?

 

NEW DELHI 21 Ogos – Perdana Menteri India, Narendra Modi didakwa melucutkan status istimewa wilayah Kashmir yang majoriti penduduknya Islam bagi menunjukkan kemenangan Hindu di negara ini.

 

Washington Post melaporkan Modi cuba memenuhi keinginan ideologi sejak sekian lama untuk menjadikan penduduk Kashmir tunduk kepada pembentukan sebuah negara Hindu yang homogen.

 

Langkah itu juga dipercayai cara beliau menyampaikan kepada seluruh rakyat India bahawa tiada pihak yang boleh terkecuali daripada kuasa Hindu yang mahu dibinanya di benua kecil tersebut.

 

Kashmir adalah amaran dan satu contoh, mana-mana negeri yang menyimpang daripada matlamatnya boleh diletakkan di bawah telunjuk New Delhi atas nama perpaduan.

 

Rata-rata penduduk juga tidak menyangka seorang pemimpin seperti Modi akan memerintah India suatu hari nanti. Beliau seolah-olah menghilangkan sejarah Kashmir.

 

Ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Gujarat, Modi pernah mengetuai pembunuhan komuniti paling teruk pada 2002, yang mana kira-kira 1,000 penduduk Islam di negeri itu dibunuh secara kejam.

 

Modi dikatakan bersubahat dengan golongan perusuh kerana dilihat ‘tutup mata’ tanpa mengambil sebarang tindakan seolah-olah menghalalkan perbuatan itu.

 

Malah kumpulan liberal India menyamakan pemimpin itu seperti Hitler sehingga Amerika Syarikat (AS) menyekat visa beliau dan Britain serta Kesatuan Eropah memboikotnya,

 

Namun Modi mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan penganut Hindu dengan menggunakan tiga langkah berbeza iaitu sadisme, mencapai kegembiraan atas kesusahan orang lain dan mengasihani diri sendiri.

 

Sejak menerajui India pada 2014, pembunuhan umat Islam semakin menjadi-jadi dan seorang menteri Kabinet India pernah ‘mengagungkan’ lapan lelaki yang membunuh seorang Muslim.

 

Garis masa itu menunjukkan Kashmir yang menikmati status autonomi selama ini tidak terkecuali daripada ‘diusik’ apatah lagi pemilihan semula Modi sebagai Perdana Menteri.

 

Dengan merampas Kashmir, Modi memujuk nasionalis Hindu dan mengukuhkan lagi beliau sebagai bapa yang digelar sebagai ‘India baharu’.

 

Kashmir sentiasa berada dalam senarai teratas kenginan mereka termasuk pembinaan kuil di Ayodhya di wilayah itu.

 

Namun adakah India yang memiliki masyarakat berbilang kaum mampu bertahan daripada sikap seperti itu.

 

Situasi tenang di Kashmir hanya menunggu masa untuk meletus dan langkah Modi ke atas wilayah itu juga mungkin menjadi titik tolak kepada berakhirnya perpaduan India.

 

Sumber: Utusan Malaysia