Info SemasaKenyataan Media

KANAK-KANAK DI YAMAN SENGSARA KEKURANGAN ZAT

Sanaa: Menyedihkan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Yaman ditemui dalam keadaan kurus kering dan hampir mati kerana kelaparan serta kekurangan zat.

Today Online melaporkan Faid Samim bernasib baik kerana sempat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Namun, Faid hanya terlantar di katil hospital dan tidak dapat bergerak disebabkan lumpuh kesan kekurangan zat yang serius.

Bukan setakat itu, Faid juga adalah penghidap Cerebral Palsy (CP) dan hanya memiliki berat tujuh kilogram (kg).

“Dia berada dalam keadaan nazak ketika tiba di hospital. Alhamdulillah kami dapat melakukan apa yang diperlukan dan tubuhnya mula menunjukkan tindak balas,” kata Dr Rageh Mohammed yang bertugas di wad menempatkan pesakit kekurangan zat di Hospital Al-Sabeen.

Difahamkan, keluarga Faid Samim terpaksa menempuh perjalanan sejauh 170 kilometer ke utara dari Al-Jawf untuk ke bandar itu.

Masalah kewangan menyebabkan keluarga Faid tidak mampu membeli ubat dan membantunya mendapatkan rawatan segera.

Mereka sebaliknya hanya bergantung dengan sumbangan dan belas ihsan orang lain untuk merawat Faid.

Berdasarkan gambar yang tular di laman sosial menunjukkan keadaan tubuh Faid yang terlalu kurus.

Malah, Faid lebih ringan daripada kanak-kanak seusianya dan hampir sama berat dengan bayi berusia setahun.

Dalam isu ini, Serantau Muslim menyeru kepada semua masyarakat di negara yang tidak mengalami masalah seperti ini sentiasa bersyukur dan tidak membazir makanan yang dikurnikan. Semoga komuniti dunia juga dapat membantu rakyat di sana demi meneruskan kelangsungan hidup yang lebih baik.

Sumber: Sinar Harian