ISU ROHINGYA: MYANMAR SEDIA JAWAPAN KEPADA ICJ
YANGON – Myanmar hari ini dijadual menyerahkan laporan menggariskan tuntutannya untuk mematuhi perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi memberi perlindungan kepada etnik minoriti Islam Rohingya.
Januari lalu, mahkamah yang berpusat di Belanda itu mengemukakan perintah terhadap Myanmar untuk melaksanakan langkah sementara bagi memberi perlindungan kepada etnik Rohingya.
Ia menyusuli keputusan mahkamah itu tahun lalu, yang bersetuju mendengar kes mendakwa Myanmar terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya, yang dinafikan sekeras-kerasnya negara itu.
Pada Ogos 2017, tentera Myanmar pernah melancarkan operasi pembersihan di wilayah Rakhine sebagai tindakan balas susulan serangan oleh kumpulan pemberontak Rohingya.
Operasi itu mengakibatkan sekitar 740,000 etnik Rohingya terpaksa melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dan menuduh bahawa pasukan keselamatan merogol dan melakukan pembunuhan besar-besaran serta membakar ribuan rumah.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Organisasi Antarabangsa dan Ekonomi Kementerian Luar Myanmar, Chan Aye, berkata kerajaan sedang berusaha menyiapkan laporan itu tetapi tidak mendedahkan apa kandungannya.
Jurucakap tentera Myanmar, Brig Jen Zaw Min Tun, berkata ia mematuhi perintah yang menuntut pihak pemerintah memberikan maklumat lengkap diperlukan untuk laporan itu.
Lagi pun, tambah beliau, bukan satu kemestian untuk membolehkan laporan itu diakses orang awam.
ICJ memerintahkan Myanmar mengambil kesemua langkah dalam kuasanya untuk melindungi etnik Rohingya daripada dibunuh, melindungi bukti berkaitan tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan mencegah hasutan masyarakat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Namun, mahkamah itu tidak memiliki mekanisme penguatkuasaan untuk memastikan keputusannya dipatuhi, malah prosiding kes itu kemungkinan akan berterusan selama bertahun-tahun.
Perintah seumpamanya dalam kes berprofil tinggi sebelum ini membabitkan Serbia dan Uganda, diabaikan kedua-dua negara itu tanpa menanggung sebarang kesan.
November lalu, Gambia yang mendakwa mewakili 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), memfailkan tindakan undang-undang di ICJ berhubung tuduhan terhadap Myanmar itu.
Sumber: Berita Harian