ISRAEL SEKAT EKSPORT PERTANIAN PALESTIN
TEL AVIV, 10 Feb – Israel hari ini mengenakan larangan ke atas eksport pertanian Palestin kerana menganggap ia satu langkah berbahaya dalam perang perdagangan yang berlarutan selama lima bulan.
“Bermula hari ini, produk pertanian Palestin ke luar negara tidak dibenarkan melalui lintasan Allenby,” kata COGAT, sebuah unit di Kementerian Pertahanan Israel yang mengawasi aktiviti orang awam di wilayah Palestin.
Menteri Pertanian Palestin, Reyad Attari berkata, tindakan Israel menyekat penghantaran barangan di lintasan sempadan itu melanggar kesemua perjanjian antara kedua-dua belah pihak.
Sekatan itu dikenakan seminggu selepas Kementerian Pertahanan Israel menyekat kesemua import produk pertanian dari Tebing Barat ke Israel.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga bertindak balas dengan mengenakan larangan terhadap produk import Israel, minuman ringan dan air mineral.
Difahamkan, lintasan sempadan Allenby terletak antara Jordan dan Tebing Barat adalah satu-satunya laluan untuk barangan Palestin ke pasaran luar.
COGAT mendakwa, langkah itu dibuat sebagai respons terhadap keputusan Palestin yang menghentikan import anak lembu dari Israel.
“Tindakan boikot mereka menjejaskan penternak lembu Israel,” ujarnya lagi.
Pada masa itu, Palestin memaklumkan keputusan itu kerana mereka mahu mengurangkan pergantungan terhadap pasaran Israel.