a159c73c-6d39-4c47-a0cf-e0e8e925e5d9.jpg
Info Semasa

Israel roboh rumah 2 pemuda Palestin

RAMALLAH: Israel merobohkan rumah dua milik pemuda Palestin di Tebing Barat yang diduduki hari ini, yang disyaki melakukan serangan menggunakan kapak pada Mei lalu yang mengorbankan tiga nyawa.

Pihak tentera memaklumkan, jentolak merobohkan rumah keluarga Assad Yussef al-Rifai, 19 dan Subhi Imad Abu Shukair, 20, di kampung Rummanah, dekat Jenin di utara Tebing Barat.

Kedua-dua lelaki terbabit sedang menunggu perbicaraan, selepas insiden tikaman yang berlaku di bandar Elad yang majoritinya dihuni ultra-Ortodoks Yahudi.

Israel melancarkan pemburuan besar-besaran berikutan serangan itu, akhirnya mendapati pasangan terbabit bersembunyi di dalam semak di dalam kawasan Israel.

“Malam ini, tentera Israel memusnahkan rumah pengganas yang melakukan serangan di Elad, di mana Boaz Gul, Oren Ben Yiftach dan Yonatan Habakkuk terbunuh dan yang lain cedera,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Timbalan Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub, memberitahu AFP bahawa lebih 50 kenderaan tentera menyerbu bandar itu semalaman.

“Elektrik terputus di kawasan itu dan kenderaan terbabit terus menyerang dua rumah itu sehingga pagi Isnin,” katanya.

Keluarga kedua-dua lelaki terbabit tewas dalam rayuan difailkan kepada mahkamah agung Israel untuk menghalang perobohan.

Tindakan perobohan itu hadir hanya beberapa jam selepas gencatan senjata antara Israel dan pejuang Jihad Islam di Semenanjung Gaza berkuat kuasa, berikutan tiga hari keganasan di mana 44 rakyat Palestin terbunuh.

Israel secara rutin merobohkan rumah penduduk Palestin yang dituduh melakukan serangan.

Ia berhujah langkah sedemikian bertindak sebagai penghalang, tetapi pengkritik mengatakan ia adalah hukuman kolektif.

Israel menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967.

Kira-kira 475,000 peneroka Yahudi kini tinggal di Tebing Barat dalam komuniti yang dianggap haram oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa, bersama kira-kira 2.8 juta rakyat Palestin.

Sumber: Berita Harian