2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL RANCANG PENEMPATAN DI TIMUR BAITULMAQDIS

BAITULMAQDIS, 19 Feb – Israel sedang membangunkan pelan membina 9,000 rumah di wilayah timur Baitulmaqdis, projek pertama seumpamanya di bandar itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Kumpulan pemerhati, Peace Now, berkata butiran mengenainya muncul sehari selepas kementerian Pengangkutan Israel meluluskan cadangan pembinaan landasan kereta api dari Tel Aviv ke bandar lama di Baitulmaqdis.

Katanya permohonan itu dikemukakan Kementerian Perumahan seminggu lalu kepada Majlis Perbandaran Baitulmaqdis bagi membina penempatan di tapak bekas Lapangan Terbang Atarot, antara dua kejiranan Palestin.

Difahamkan, kelulusan projek itu mungkin mengambil masa beberapa tahun tetapi jika dilaksana, akan memisahkan Ramallah dan Baitulmaqdis Timur, sekali gus merencatkan penubuhan negara Palestin dengan ibu negara di Baitulmaqdis Timur.

Lebih 6,000 penduduk Yahudi menetap di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diceroboh Israel, dalam penempatan yang dianggap tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Peace Now berkata pelan di Atarot turut merangkumi ‘merobohkan puluhan rumah milik rakyat Palestin yang dibina di kawasan itu tanpa permit sejak beberapa tahun lalu.

Jordan, selaku penjaga kota suci Baitulmaqdis, mengkritik cadangan pembinaan landasan itu sebagai ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan’ .

Pelan Damai Asia Barat yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu lalu, memberi lampu hijau kepada Israel untuk mengisytiharkan kedaulatan merangkumi keseluruhan Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Sumber: Berita Harian