2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-10-12 at 10.23.35 AM (2)
Info Semasa

Israel guna bom fosforus terhadap orang awam di Gaza

GAZA CITY: Israel dilaporkan mula menggunakan fosforus putih yang diharamkan di peringkat antarabangsa dalam pengebomannya di Semenanjung Gaza ketika mereka terus menyasarkan kawasan perumahan padat penduduk di wilayah berkenaan.

Menurut Utusan Malaysia yang memetik laporan berita Al-Alam, tentera rejim Zionis telah melepaskan bom fosforus putih ke atas kawasan kediaman di Gaza pada awal Isnin lalu.

Bom fosforus merupakan senjata pembakar yang tidak diharamkan, namun penggunaannya di kawasan awam dianggap sebagai jenayah perang.

Malah, penggunaan senjata itu juga dilihat sebagai mencabul undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Bom fosforus merupakan unsur yang paling mudah menyala ketika di udara, selain sukar dipadamkan apabila api merebak dengan cepat.

Israel mengaku menggunakan peluru yang mengandungi fosforus putih semasa perang 2008-2009 ke atas Gaza tetapi rejim itu menafikan melanggar undang-undang antarabangsa dengan menegaskan bahawa senjata sedemikian tidak dilepaskan ke kawasan yang dihuni oleh orang awam.

Video yang diterbitkan di media sosial pada Isnin menunjukkan rejim melakukan serangan menggunakan bom fosforus putih ke atas kawasan berpenduduk padat di Gaza, wilayah Palestin yang terletak di Mediterranean di mana kira-kira 2.3 juta orang tinggal di bawah kepungan berterusan Israel.

Serangan itu adalah sebahagian daripada tindak balas besar-besaran yang dilancarkan Israel di Gaza sejak Sabtu apabila penempatan haramnya di wilayah Palestin berada di bawah siri serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh gerakan penentangan Hamas.