2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

‘ISRAEL BERIKRAR TERUS TUNTUT BUKIT GOLAN’- NETANYAHU

BAITULMAQDIS: Israel berikrar akan terus menuntut wilayah Bukit Golan sebagai miliknya termasuk kawasan Palestin yang didudukinya secara haram.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini menegaskan beliau tidak menghiraukan apa yang diperkatakan sekutu kuatnya itu dan akan terus mempertahankan Bukit Golan.

“Lihat, mereka (AS) mengatakan mereka sedang memerhatikannya tetapi saya sudah lama memerhati.

“Setahu saya, Bukit Golan akan kekal selamanya menjadi sebahagian daripada Israel, sebagai kawasan yang berdaulat.

“Apakah kita sekarang harus mengembalikannya kepada Syria? Membawa kembali Bukit Golan ke era pembunuhan beramai-ramai yang membahayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian membalas kenyataan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang meminta Israel menghentikan tuntutan mereka ke atas kawasan itu dan tidak lagi mengakui kononnya ia milik regim Yahudi itu.

Pada 2019, Presiden AS ketika itu, Donald Trump, berbeza pandangan dengan kuasa dunia lain dengan mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel.

Israel menduduki dataran tinggi strategik itu selepas perang 1967 dengan Syria dan menceroboh lebih banyak kawasan pada 1981.

Kelmarin, Blinken berkata beliau melihat kawalan ke atas Bukit Golan, yang menghadap utara Israel dan bersempadan dengan Lubnan serta Jordan, dari aspek keselamatan serantau.

Beliau turut mengakui bahawa kedudukan Israel di wilayah itu amat penting bagi keselamatannya tetapi tidak sampai mengiktiraf kawasan berkenaan sebagai milik regim Yahudi itu.

“Hak sempadan adalah isu perundangan, yang mungkin bertukar sekiranya berlaku perubahan di Syria dan ini perlu kita ambil kira, walaupun bukan buat masa sekarang,” katanya dalam temu bual dengan CNN.

Syria sejak sekian lama menuntut Bukit Golan dikembalikan dan pendudukan Israel secara di kawasan itu tidak diperakui masyarakat antarabangsa.

Trump sebelum ini menandatangani pengiktirafan mengakui Bukit Golan sebagai milik Israel, yang mula mendudukinya pada 1981 walaupun dibantah masyarakat antarabangsa.

Syria menyifatkan keputusan Trump pada masa itu sebagai ‘pelanggaran secara terang-terangan’ terhadap kedaulatannya.

Israel secara teknikal masih berperang dengan Syria dan dipisahkan oleh perbatasan Bukit Golan, yang dijajah Israel sejak berakhirnya Perang Enam Hari pada 1967. 

Sumber: Berita Harian