2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL BEDIL SEMENANJUNG GAZA PADA AWAL PAGI

GAZA CITY: Israel telah membedil Semenanjung Gaza, awal pagi semalam, menurut sumber keselamatan Palestin.

Ia susulan serangan roket yang dilapor dilancarkan dari wilayah bawah kawalan Hamas ke Israel sebelumnya.

Serangan balas itu dilakukan selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani perjanjian bersejarah di Washington, Amerika Syarikat, untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Sementara itu di Ashdod, Israel, pihak perkhidmatan kecemasan mendakwa salah sebuah roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza, semalam, telah mengenai bandar berkenaan dan menyebabkan sekurang-kurang dua individu cedera ringan.

Bagaimanapun, sebuah lagi roket yang dilancarkan pula berjaya dipintas sistem antipeluru berpandu, Iron Dome, milik Israel.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan, jet pejuang mereka bertindak balas dengan melakukan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan milik Hamas yang mengawal Semenanjung Gaza.

Setakat ini, tiada mana-mana kumpulan Palestin di Gaza yang mengaku bertanggungjawab atas serangan roket ke Israel itu.

Namun, IDF menuding jari kepada Hamas dan memberi amaran bahawa kumpulan itu akan ‘menanggung akibat atas keganasan dilakukan terhadap orang awam Israel’.

Sumber: Berita Harian