2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

INDIA TERUS PERTAHANKAN UNDANG-UNDANG KEWARGANEGARAAN

NEW DELHI: India terus mempertahankan undang-undang kewarganegaraan sebagai isu dalaman negara itu, walaupun berdepan cabaran perundangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Undang-undang baharu itu memudahkan golongan minoriti di tiga negara berjiran memohon kewarganegaraan India, kecuali yang beragama Islam, sekali gus mencetuskan rusuhan ganas di New Delhi sejak beberapa minggu lalu.

Lebih 40 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam rusuhan kaum terburuk sejak beberapa dekad lalu.

Demonstrasi jalanan yang kadang kala bertukar ganas berlarutan di serata India yang majoriti penduduknya beragama Hindu, sejak undang-undang baharu itu diluluskan Parlimen Disember lalu.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, memaklukan kepada India semalam mengenai permohonannya sebagai pihak ketiga dalam salah satu petisyen difailkan seorang bekas kakitangan awam.

Permohonan PBB itu dibuat selepas kerajaan India, hari ini meminta Duta Iran ke negara itu memberi penjelasan mengenai ciapan Twitter Menteri Luar Iran, Javad Zarif, mengutuk ‘keganasan terancang terhadap umat Islam’ dalam rusuhan di Delhi.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar, Raveesh Kumar, menegaskan Akta Pindaan Kewarganegaraan itu adalah isu dalaman India, berkait dengan hak kedaulatan Parlimen India menggubal undang-undang.

“Kami percaya tiada sebarang pihak luar ada ‘locus standi’ (hak) mengenai isu berkaitan kedaulatan India.

“Kami sudah mengemukakan ‘bantahan keras’ terhadap kenyataan yang tidak sepatutnya dibuat itu, ia tidak boleh diterima,” katanya.

Puluhan petisyen difailkan di mahkamah Tinggi, termasuk oleh aktivis sosial dan parti politik, bagi mencabar kesahihan undang-undang itu dari segi perlembagaan negara.

Mahkamah dijadualkan mendengar semua petisyen terbabit secara sekali gus dan Kumar berkata kerajaan yakin dengan kesahihan undang-undang itu yang diluluskan Parlimen Disember lalu.