Kenyataan Media

INDIA TARIK BALIK NASIHAT PERJALANAN KE KASHMIR

SRINAGAR, 9 OKT – India akan menarik balik nasihat perjalanan ke wilayah bergolak Kashmir Khamis ini, dua bulan selepas kerajaan melancarkan tindakan keras keselamatan sebelum memansuhkan status istimewa wilayah itu, kata pihak berkuasa.

Ribuan pelancong India, orang awam dan pekerja meninggalkan negeri majoriti Islam itu awal Ogos lalu selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan akan kemungkinan berlakunya serangan militan yang disokong Pakistan.

Talian telefon dan internet digantung serta pergerakan orang ramai turut dihadkan ke kawasan tertentu saja bagi mengawal tunjuk perasaan, sebelum India mengumumkan untuk memansuhkan status istimewa wilayah berkenaan.

Beberapa lagi larangan juga sudah ditarik balik.

Bagaimanapun, sebahagian besar perkhidmatan telefon mudah alih dan internet masih disekat di lembah Kashmir.

Media berkata semalam, anggota parti Persidangan Kebangsaan dibenarkan bertemu dua pemimpin kanan mereka yang ditahan ketika tindakan keras itu.

Nasihat perjalanan yang berkuat kuasa 2 Ogos lalu itu akan ditarik balik bermula Khamis ini, kata kerajaan Jammu dan Kashmir dalam satu kenyataan semalam.

Kashmir terbahagi kepada India dan Pakistan apabila kedua-dua negara bertelagah menuntut hak sepenuhnya ke atas wilayah itu.

Sejak 1989, lebih 40,000 orang terbunuh sepanjang pemberontakan di wilayah Kashmir India.