2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

CHINA LAKUKAN GENOSID?

BEIJING, 8 Okt. – China didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai apabila dilapor memaksa wanita Islam Uighur menggugurkan kandungan mereka dalam usaha mengurangkan populasi etnik minoriti berkenaan.

Portal Independent melaporkan, pendedahan itu dibuat oleh mereka yang berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi tahanan di Xinjiang dan kini mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa China di sepanjang sempadan Kazakhstan.

Sebahagian daripada mereka yang masih trauma dengan penyeksaan itu mendakwa, mereka dipaksa menggugurkan kandungan di wilayah Xinjiang manakala wanita lain ‘dimandulkan’ tanpa kebenaran semasa berada di kem tahanan.

Malah, seorang wanita mendakwa telah dirogol dan ramai lagi menyatakan mengalami penderaan seksual termasuk dirakam ketika sedang mandi sehingga bahagian intim mereka disapu dengan serbuk cili.

Dakwaan itu dibangkitkan ketika China dipercayai melakukan tindakan kekerasan selama bertahun-tahun ke atas komuniti minoriti Islam, bukan hanya Uighur tetapi turut melibatkan etnik Kazakhs dan etnik lain.

Walaupun dakwaan itu tidak dapat disahkan, namun kumpulan hak asasi manusia tempatan dan peguam berkata, perbuatan itu biasa berlaku malah mendedahkan pola penderaan lebih luas khususnya melibatkan wanita yang bertujuan mencegah keupayaan membiak mereka.

Pada Disember 2017, seorang warga China etnik Kazakhstan, Gulzira Mogdyn, 38, ditahan di Xinjiang selepas melawat Kazakhstan, setelah pihak berkuasa menemukan aplikasi Whatsapp pada telefon bimbitnya.

Wanita berkenaan ditempatkan di bawah tahanan rumah dan didapati hamil 10 minggu setelah diperiksa oleh doktor dari klinik berhampiran.

Dakwa Mogdyn, pihak berkuasa tidak membenarkan beliau mempunyai anak keempat itu, oleh demikian, doktor telah memotong janinnya tanpa menggunakan ubat bius dan sehingga kini dia masih mengalami komplikasi akibat pembedahan tersebut.

“Dua manusia mati dalam tragedi ini, saya dan bayi saya,” kata Mogdyn dalam satu temubual di kawasan luar bandar Almaty, bandar raya terbesar Kazakhstan.

Dalam pada itu, seorang peguam hak asasi manusia warga Kazakhstan dan penerima anugerah dari Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Aiman Umarova mendakwa, klien beliau yang masih mempunyai saudara di China dipaksa melakukan dua pengguguran pada 2016 dan 2017 di Xinjiang.

Katanya, wanita itu sedang mendapatkan perlindungan di bandar Kazakhstan dan tidak mahu dikenali kerana takut dengan hukuman.

“Perbuatan menindas wanita secara seksual termasuk melarang mereka daripada melahirkan anak telah menjadi senjata buat China untuk digunakan terhadap penduduk Islam,” katanya.

Sementara itu, beberapa bekas tahanan wanita berkata, mereka percaya wanita muda dan yang belum berkahwin dan dikeluarkan dari sel penjara pada waktu malam mungkin akan dirogol oleh pengawal kem.

“Pengawal tersebut akan masuk dan meletakkan beg di atas kepala wanita yang mereka mahu,” kata Gulzira Auelkhan, 40, dari kampung Akshi, Kazakhstan yang menghabiskan 18 bulan di kem tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia