2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
2679432
Info Semasa

Ibu di Gaza merata cari susu

Amira al-Taweel mencari susu dari satu ke satu farmasi di utara Genting Gaza, namun tidak ada satu pun dapat ditemui untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Menurut laporan Sinar Harian, seorang ibu menceritakan bahawa anaknya, Youssef memerlukan rawatan dan susu tetapi segalanya sudah tiada di Gaza. Rintihan ibu berusia 33 tahun itu di Hospital al-Aqsa yang ketika ini berada di sisi anaknya yang sedang dirawat kerana malnutrisi.

Menurutnya, dia cuba memberikan makanan iaitu gandum sebagai pengganti susu yang menyebabkan Youssef mengalami kembung perut.

Pejabat Media Hamas memberitahu sekurang-kurangnya 32 kematian akibat kekurangan zat makanan direkodkan sejak perang genosid itu tercetus kira-kira lapan bulan lalu dan sebahagian besar jumlah tersebut ialah kanak-kanak.

Agensi bantuan memberi amaran situasi itu memberi impak lebih besar kepada golongan kanak-kanak.

Pada Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, lebih empat dalam setiap lima kanak-kanak tidak makan langsung selama 72 jam.

“Mereka semakin kebuluran,” ujar jurucakapnya, Margaret Harris.

Peningkatan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak Gaza berpunca daripada sekatan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke enklaf tersebut.

Sejak pertengahan Januari lalu, agensi kemanusiaan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melakukan saringan terhadap lebih 93,400 kanak-kanak di bawah usia lima tahun termasuk seramai 7,280 yang disahkan mengalami masalah kekurangan zat makanan akut.

Malnutrisi berlaku secara meluas di utara setelah ia menjadi sasaran kempen pengeboman sengit rejim Zionis ketika fasa awal perang genosid tersebut.

Sejak beberapa minggu lalu, bantuan akhirnya tiba di kawasan berkenaan setelah penghantaran dialihkan melalui lintasan baharu bagi meringankan penderitaan komuniti di utara.

Pada Ahad, tentera Israel mendakwa sebanyak 1,858 trak bantuan telah selesai diperiksa dan dibenarkan memasuki Gaza pada minggu ini melalui lintasan Kerem Shalom (Karim Abu Salem) serta Erez Barat termasuk 764 dari Mesir.

Kanak-kanak terus jadi mangsa keganasan Israel

Suasana pilu dapat dilihat di Hospital al-Aqsa berikutan kebanyakan ibu bimbang keadaan anak mereka yang lemah kerana kekurangan zat makanan.

Saif yang kini dirawat di kemudahan itu juga senasib dengan Youssef.

“Kami bergantung kepada penghantaran bantuan. Dia menanggung sakit sepanjang masa dan sepatutnya menjalani pembedahan, namun terpaksa ditangguhkan,” kata Noha al-Khaldi yang khuatir sampai bila anaknya mampu bertahan dengan ma-kanan yang diberikan hospital berkenaan.

Sementara itu, pakar kanak-kanak di al-Aqsa, Dr Hazem Mostafa menyalahkan penutupan lintasan Rafah di selatan yang memburukkan lagi situasi di wilayah terkepung tersebut.

Hal itu kerana koridor tersebut yang dikawal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sejak 7 Mei lalu merupakan laluan utama penghantaran bantuan ke Gaza dari Kaherah.

Sejak kawalan lintasan sempadan itu dirampas, tiada lagi bantuan dihantar atau pemindahan pesakit dapat dilakukan.

Kes malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak di Rafah juga mula direkodkan sejak beberapa hari lalu setelah sejumlah bayi kini dirawat di pusat kesihatan.

“Rejim Zionis sengaja menghalang penghantaran bekalan makanan terutamanya susu untuk golongan kanak-kanak. Tindakan itu telah menyebabkan tubuh mereka semakin lemah dan tumbesaran terbantut, selain terdedah kepada pelbagai penyakit.

“Kami menuntut bekalan susu yang banyak untuk diberikan kepada kanak-kanak supaya mereka kekal sihat,” tegas Mostafa lagi.