2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
51d3e70e-b6aa-4288-b1a7-8257b72e7e80.jpg
Info Semasa

Hospital kanak-kanak, wad bersalin musnah serangan tentera Russia

KYIV: Serangan udara oleh Russia semalam memusnahkan sebuah hospital pediatrik termasuk wad bersalin di bandar pelabuhan Mariupol, Ukraine yang terkepung, mencederakan sekurang-kurangnya 17 kakitangan, kata pegawai.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyiarkan sebuah video di Twitter, yang menunjukkan kemusnahan teruk di kompleks perubatan itu, termasuk tingkap pecah dan dinding runtuh, yang menurutnya berpunca daripada serangan Russia.

Beliau berkata, masih terdapat orang dewasa dan kanak-kanak yang ‘tersepit di bawah serpihan’ itu.

“Setakat ini, terdapat 17 kakitangan hospital yang cedera,” kata ketua wilayah tenggara Donetsk, Pavlo Kyrylenko, melalui video yang disiarkan di Facebook.

“Setakat ini, tiada kanak-kanak cedera dan tiada kematian,” katanya.

Pentadbiran tentera wilayah Donetsk memberitahu AFP, serangan itu berlaku ketika masih ada pesakit wanita sedang bersalin di hospital yang baru diubah suai itu.

Serangan berlaku ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran perang dengan Russia mencetuskan krisis kesihatan di Ukraine.

Sekurang-kurangnya 18 serangan yang disahkan dilancarkan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan, ambulans dan kakitangan, mengakibatkan 10 kematian dan 16 kecederaan.

Video yang disiarkan ketua wilayah dan pihak berkuasa bandar itu menunjukkan usaha memindahkan pesakit di hospital itu, termasuk seorang wanita di atas pengusung dan seorang lagi berjalan dengan sokongan dua lelaki.

Mereka juga menunjukkan sebuah kawah besar di halaman hospital, dahan patah dari pokok dan kereta terbakar, selain lapisan tercabut dari permukaan luar bangunan.

Kyrylenko berkata, juruterbang Russia tahu dengan jelas di mana lokasi bom itu akan jatuh dan masih menjatuhkannya.

Sementara itu, pegawai kanan keselamatan Ukraine, Oleksiy Danilov, semalam berkata 67 kanak-kanak terbunuh sejak pencerobohan Russia bermula pada 24 Februari lalu.

Sumber: BH