Henti biaya dana untuk UNRWA langkah sangat tidak bijak – EU
Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa langkah banyak negara yang menangguhkan pembiayaan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) adalah sangat tidak bijak.
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borell, dalam petikan laporan Berita Harian menegaskan langkah itu dibimbangi boleh mengundang bahaya kepada penduduk Gaza yang kini sudah pun diancam risiko kebuluran dan penyakit.
“Menghentikan pembiayaan UNRWA akan menjadi tidak seimbang dan berbahaya.
“Sementara beberapa penderma penting menangguhkan pembiayaan, terdapat pengiktirafan luas bahawa UNRWA adalah pusat untuk menyediakan bantuan mustahak kepada lebih 1.1 juta orang di Gaza yang sedang menderita akibat kelaparan dan wabak penyakit.
“Dengan menghentikan pembiayaan terhadap agensi itu cuma akan membahayakan ratusan ribu nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lebih puluhan negara termasuk penderma utama iaitu Amerika Syarikat (AS), Jerman, Britain dan Sweden bertindak menggantung penyaluran dana kepada UNRWA.
Tindakan negara berkenaan kononnya terdapat 12 kakitangan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu terbabit dalam serangan pada 7 Oktober lalu.
Rentetan banyak negara memutuskan menghentikan pembiayaan terhadap UNRWA, ia sekali gus mengundang risiko bahawa agensi berkenaan kemungkinan perlu menghentikan operasinya menjelang akhir bulan ini jika lebih banyak negara bertindak menarik pembiayaan mereka.
PBB juga mengumumkan untuk menjalankan audit terhadap operasi UNRWA bagi menentukan sama ada agensi itu harus atau tidak digantung ekoran kekangan kewangan.
Mengulas lanjut, Borrell yakin siasatan itu dapat diselesaikan sebelum siasatan bebas dijalankan dan kini sedang menunggu pembiayaan daripada EU yang akan menyalurkan dana pada hujung bulan ini.
Katanya, jumlah dana yang dihentikan pada masa ini berjumlah lebih A$440 juta (RM2.07 bilion) atau kira-kira separuh daripada bajet dana agensi bagi tahun ini.
Beliau turut mengakui kekangan dana boleh mengakibatkan UNRWA berada dalam situasi getir.
Israel melancarkan serangan maut ke atas Gaza berikutan serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 27,365 rakyat Palestin dan mencederakan 66,630 yang lain, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas.