Hamas dakwa Israel guna jentolak memasuki Hospital Al-Shifa
Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Semenanjung Gaza hari ini, memberitahu bahawa tentera Israel menggunakan jentolak untuk memasuki Hospital Al-Shifa.
Israel sebelum itu mendakwa pusat operasi Hamas berada di bawah hospital berkenaan.
Menurut Berita Harian yang memetik ucapan pihak Kementerian Kesihatan, jentolak Israel memusnahkan pintu masuk selatan hospital.
Tentera Israel memaklumkan operasi sedang dijalankan di kompleks hospital berkenaan.
Ketua operasi tentera Israel di Semenanjung Gaza, Mejar Jeneral Yaron Finkelman berkata, mereka akan terus bergerak ke hadapan.
“Malam ini kami menjalankan operasi yang disasarkan ke Hospital Al-Shifa”, kata mereka.
Semalam, tentera Israel melakukan operasi di Hospital Al-Shifa, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kritikan antarabangsa yang serius.
Seorang wartawan yang terperangkap di dalam hospital berkata tentera melepaskam tembakan dan mengarahkan lelaki muda menyerah diri sebaik masuk ke hospital.
Israel dan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS) berkata Palestin mempunyai pusat arahan Hamas di bawah kompleks Al-Shifa.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Hamas dan pengarah di hospital berkenaan.
Tentera Israel berkata pihaknya menemui `peralatan ketenteraan dan tempur’ di dalam kawasan itu ketika operasi semalam.
Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas segera menafikan perkara itu.