Golongan miskin tegar bertambah 4.7 juta akibat COVID-19
MANILA: Pandemik COVID-19 menambah 4.7 juta orang lagi menjadi miskin tegar di Asia Tenggara pada 2021, menyebabkan kemajuan yang dicapai dalam memerangi kemiskinan merudum kembali, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).
Sehubungan itu, bank berkenaan menggesa kerajaan rantau terbabit ini mengambil langkah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Bilangan orang yang berada dalam kemiskinan tegar ditakrifkan sebagai mereka yang hidup dengan pendapatan kurang AS$1.90 (RM8) sehari.
Golongan miskin tegar itu berjumlah 24.3 juta orang tahun lalu atau 3.7 peratus daripada 650 juta penduduk Asia Tenggara, kata ADB dalam satu laporan semalam.
Presiden ADB, Masatsugu Asakawa, berkata sebelum pandemik, angka kemiskinan tegar di Asia Tenggara merosot, dengan 14.9 juta orang pada 2019, turun daripada 18 juta pada 2018 dan 21.2 juta pada 2017.
“Pandemik membawa kepada pengangguran meluas, ketidaksamaan yang semakin teruk dan peningkatan tahap kemiskinan, terutama dalam kalangan wanita, pekerja muda dan warga tua di Asia Tenggara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemerintah menambah baik sistem kesihatan, menyelaraskan peraturan meningkatkan daya saing perniagaan, melabur dalam prasarana pintar dan hijau serta menerima pakai teknologi untuk mempercepatkan pertumbuhan.
ADB menyatakan terdapat 9.3 juta pekerja yang kehilangan pekerjaan di Asia Tenggara pada 2021, sedang sekatan COVID-19 mengurangkan aktiviti ekonomi, menyebabkan jutaan orang kehilangan pekerjaan.
Menurut ADB, ramalan pertumbuhan 2021 bagi Asia Tenggara ialah tiga peratus dan ekonomi rantau itu diramal bertumbuh 5.1 peratus tahun ini.
Bagaimanapun, COVID-19 varian Omicron boleh mengurangkan ramalan pertumbuhan itu sebanyak 0.8 mata peratusan jika ia merebak lebih luas dan mencetuskan masalah bekalan dan permintaan, kata ADB.
Ketua Pengarah di ADB, Ramesh Subramaniam, berkata unjuran pertumbuhan Asia Tenggara juga akan disemak untuk mencerminkan kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang dijangka ‘boleh diurus’.
“Cabarannya ialah apa yang boleh dijangka pada tempoh sederhana, adakah (perang) ini akan menjejas pemulihan rantau ini daripada pandemik dan cabaran fiskal yang akan dihadapinya?
“Bagaimana kita boleh memastikan sebarang kesan yang ada tidak menjadi serius dalam kes Asia Tenggara?” katanya pada majlis pelancaran laporan itu.
Konflik perang itu memaksa penggubal dasar Asia memikirkan semula unjuran dan andaian bagi 2022, dengan risiko pertumbuhan yang lemah, ditambah pula lonjakan harga yang menambah kerumitan tidak diingini kepada rancangan kewangan sedia ada.
Sumber: BH