2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-02-06 at 7.19.38 PM
Info Semasa

GEMPA BUMI TURKIYE: SERANTAU MUSLIM RAKAM TAKZIAH, SERU SELURUH DUNIA MEMBANTU DAN BERSOLIDARITI

7 Feb 2023: Serantau Muslim mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di Turkiye awal pagi.

Dalam kejadian yang tidak diingini itu, sekurang-kurangnya 1,444 orang maut dan 3,531 cedera serta berpuluh lagi mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan. Antara yang terkorban ialah anak-anak kecil, wanita dan semua pekerja yang berada di kawasan berkenaan.

Gempa bumi tersebut telah menjejaskan hampir 10 wilayah termasuk wilayah Osmaniye, Sanliurfa dan lain-lain lagi yang terletak berhampiran sempadan Turkiye dengan Syria.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye telah mengejutkan para penduduk yang kini dalam keadaan cuaca sejuk, hujan dan bersalji.

Serantau Muslim turut dimaklumkan bahawa usaha mencari masih giat dijalankan di celah-celah longgokan konkrit dan logam.

Sebanyak 34 buah bangunan di wilayah selatan Osmaniye dilaporkan musnah manakala 16 buah bangunan di tenggara Sanliurfa runtuh.

Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu juga memaklumkan bahawa gempa tersebut telah menjejaskan 10 wilayah berhampiran dan amaran peringkat tertinggi juga telah dikeluarkan.

Oleh yang demikian, Serantau Muslim menyeru seluruh komuniti dunia untuk membantu dan bersolidariti sebulat tenaga membantu mereka yang terjejas di sana.

Serantau Muslim berharap komuniti dunia bersatu padu menggembeleng tenaga membantu mereka yang terjejas dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, doa dan sebagainya agar mereka di sana dapat bangkit dan meneruskan aktiviti harian mereka seperti sedia kala.

Serantau Muslim juga berdoa agar semua urusan mereka di sana dipermudahkan dan semua yang masih tertimbus diharap dijumpai dalam keadaan selamat. Insha-Allah!

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

MOHD HAKIM MOHD NOR
Pengerusi Serantau Muslim