GEMPA BUMI GEGAR FILIPINA
MANILA: Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Filipina hari ini, menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Penduduk di ibu negara melaporkan bangunan bergegar, namun setakat ini tiada laporan kerosakan diterima.
Gempa bumi itu menggegarkan wilayah Batangas di pulau besar Luzon pada kedalaman 108 kilometres pada jam 7.43 pagi waktu tempatan.
Di bandar pesisir Calatagan, kira-kira 90 kilometer ke selatan Manila dan berhampiran pusat gempa, orang ramai tetap tenang ketika gempa melanda, kata Ketua Polis, Mejar Carlo Caceres kepada AFP.
“Walaupun aktiviti dalam gereja terhenti sementara, orang ramai tidak panik,” kata Caceres.
“Kawasan ini biasa dilanda gempa dan penduduk sudah biasa dengan keadaan ini.”
Tiada laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa di daerah itu, katanya.
“Perabot dan peralatan pejabat bergoyang, tetapi tiada yang rosak,” kata anggota polis Allan Megano di bandar Balayan yang berdekatan.
Filipina terletak di Lingkaran Api Pasifik, sebuah lengkungan aktiviti gempa yang kuat, merentangi dari Jepun melalui Asia Tenggara dan di seluruh lembah Pasifik.
Sumber: Berita Harian