2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Screenshot 2024-06-06 160839
Info Semasa

Gaza terus bergegar akibat bedilan Israel

Pertempuran hebat terus menggegarkan Gaza selepas negara Kumpulan Tujuh (G7) dan negara Arab menggesa Israel serta Hamas bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata selain pembebasan tebusan.

Menurut Qatar selaku negara pengantara, pihaknya masih belum melihat sebarang kenyataan meyakinkan dikeluarkan oleh kedua belah pihak berhubung syor yang diketengahkan Israel menerusi Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Qatar menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan kedua-dua pihak untuk duduk di meja rundingan.

Memetik kenyataan Washington, pihaknya akan mendapatkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menyokong pelan hala tuju tiga fasa yang dibentangkan Biden pada Jumaat lalu, sebagai rancangan Israel, walaupun regim Zionis itu sudah kembali memulakan perang.

Di bawah syor perjanjian itu, Biden berkata pertempuran akan dihentikan selama enam minggu dan tebusan Isreal akan ditukar dengan tahanan Palestin dalam fasa kedua, disusuli fasa ketiga untuk membina semula Gaza.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan pertempuran hanya perlu dihentikan sementara bagi memberi ruang kepada proses pembebasan tawanan, sebelum Israel meneruskan rancangan memusnahkan Hamas.

Berdasarkan satu kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, Kabinet perang Israel dikatakan sedang bermesyuarat di Baitulmaqdis, namun tiada butiran lanjut didedahkan.

Menurut sumber yang mempunyai maklumat mengenai rundingan gencatan senjata, Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Bill Burns, dikatakan akan kembali ke Doha, Qatar untuk terus bekerjasama dengan negara pengantara.

Mereka berusaha bagi mencapai persetujuan antara Hamas dan Israel, berhubung gencatan senjata di Gaza termasuk pembebasan tebusan yang diculik Hamas bagi tahanan Palestin di penjara Israel.

Biden memberitahu Emir Qatar kononnya Hamas kini satu-satunya penghalang gencatan senjata sepenuhnya dan beliau juga mengesahkan kesediaan Israel untuk bergerak ke hadapan dengan syarat yang ditetapkan minggu lalu.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas di Beirut semalam menuduh Israel cuba mensabotaj rundingan gencatan senjata supaya tidak berkesudahan, sekali gus membolehkan tenteranya terus menyerang Gaza.

Beliau turut mengulagi pendirian kumpulan Hamas menolak sebarang perjanjian yang mengecualikan pengisytiharan gencatan senjata kekal.

Hamas berpegang utuh pada pendirian itu dalam tempoh beberapa bulan rundingan ‘terputus-putus’ membabitkan pengantara AS, Qatar dan Mesir.

Ketiga-tiga negara itu kini menggesa kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata terbaharu, sama seperti yang dikehendaki oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Asia Barat, Tor Wennesland, turut menggesa kedua-dua pihak menyokong cadangan itu.

“Tiada alternati dan sebarang kelewatan. Setiap hari kita hanya menyaksikan lebih banyak nyawa terkorban,” katanya di platform X.

Keadaan di Gaza ibarat tiada berkesudahan apabila ia semakin teruk dibadai serangan tanpa henti rejim Zionis.