Info SemasaKenyataan Media

FILIPINA BERI BANTUAN TUNAI KEPADA ORANG MISKIN

MANILA: Pemandu beca, Jesus Gomez semakin resah Manila kembali melaksanakan perintah berkurung sejak minggu lalu, memaksanya kehilangan mata pencarian berikutan orang ramai diarahkan tidak keluarga rumah.

Bahkan sejak enam bulan lalu, lelaki berusia 77 tahun ini tidak mampu membayar sewa mahupun untuk membeli gas memasak, menjadi antara ratusan orang yang berpusu-pusu ke gelanggang bola keranjang hanya untuk mendapatkan bantuan tunai daripada kerajaan berjumlah 1,000 peso atau RM84.80.

Dianggarkan 80 peratus daripada 13 juta orang yang tinggal di ibu negara itu layak mendapat pembayaran tunai bantuan ‘one-off’ yang diperuntukkan untuk meringankan beban perbelanjaan susulan pelaksanaan perintah berkurung yang terbaharu ini.

“Ia adalah bantuan yang besar dan jika tiada tunai, saya tidak mungkin dapat membeli gas (memasak),” yang menerima pendapatan sekitar 200 peso (RM16.82) sehari ketika tempoh perintah berkurung.

Sekatan yang diperkenalkan sejak bermulanya pandemik melumpuhkan ekonomi Filipina, menghilangkan berjuta-juta pekerjaan dan menyebabkan banyak keluarga kelaparan.

Lonjakan semula kes terutama yang disebabkan varian Delta turut memberikan impak buruk kepada negara-negara jiran, mendorong sekatan pergerakan di ibu negara serta lokaliti lain.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, baru-baru ini berkata, negaranya tidak dapat melakukan lebih banyak penutupan.

Malah, hanya kira-kira 10 peratus penduduknya diberi vaksin penuh, di samping hospital dipenuhi pesakit dan pihak berkuasa hanya mempunyai beberapa pilihan untuk memperlahankan penyebaran virus.

Peraturan yang lebih ketat, termasuk perintah berkurung selepas jam 8 malam serta larangan makan di restoran dan kegiatan sukan di luar rumah, dijangka mengakibatkan kerugian ekonomi sekitar AS$3 bilion (RM12.72 bilion) seminggu.

Namun, pegawai kerajaan mengatakan, ekonomi akan berkembang pesat susulan data menunjukkan hasil dalam negara pulih 11.8 peratus pada suku kedua tahiun ini.

Ia mengalami kemerosotan 17 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu ketika negara melaksanakan penutupan yang begitu menjejaskan ekonomi.

Menurut Gomez, dia hanya dibenarkan bekerja pada hari kedua di bawah peraturan yang diperkenalkan berhubung krisis kesihatan untuk memastikan pengusaha berpeluang mendapatkan wang.

Baginya, ia tidak mencukupi berikutan dia kini diancam diusir daripada pangsapuri kecilnya biarpun sebelum ini terpaksa menjual penghawa dinginnya demi mendapatkan wang.

Katanya, jika keadaan semakin mendesak, Gomez bersedia menjual becanya untuk menampung hutang, namun ia adalah ‘pilihan terakhirnya’ dan merancang untuk terus bekerja hingga usia 80-an.

Sumber: Berita Harian