UNICEF KECAM PEMBUNUHAN 35 ORANG TERMASUK KANAK-KANAK DI MYANMAR
NEW YORK – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) mengecam pembunuhan dan pembakaran 35 orang termasuk empat kanak-kanak dan dua pegawai Save the Children di Timur Myanmar, lapor Sputnik, memetik pengumuman UNICEF dalam satu kenyataan pada Selasa.
“UNICEF terkejut dan sedih dengan laporan pembunuhan dan pembakaran sekurang-kurangnya 35 orang, termasuk empat kanak-kanak dan dua kakitangan organisasi kemanusiaan Save the Children, di Negeri Kayah di Timur Myanmar pada 24 Disember,” kata kenyataan itu.
Laporan yang boleh dipercayai menunjukkan bahawa empat kanak-kanak terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua remaja lelaki berusia 17 tahun, seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun, kata UNICEF.
“UNICEF mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas orang awam, kanak-kanak dan petugas kemanusiaan itu. Perlindungan orang awam, khususnya kanak-kanak dan pekerja kemanusiaan, mesti diutamakan semasa konflik, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Pengarah Serantau Asia Timur. dan Pacific Debora Comini.
Dua petugas Save the Children, yang kematian mereka disahkan hari ini, terbunuh semasa dalam perjalanan pulang ke pejabat pertubuhan itu di Loikaw selepas menyampaikan bantuan kemanusiaan di komuniti berhampiran, kata kenyataan itu.
Sumber: SH