1a107cef-b4f6-451f-b29b-bd4e538e7dcf.jpg
Info Semasa

Tentera Zionis tembak mati pemuda Palestin

Ramallah: Seorang rakyat Palestin terbunuh, pada Selasa, selepas tentera Israel menyerang sebuah kem pelarian di Tebing Barat.

Operasi yang digelar Israel sebagai ‘perangi keganasan’ itu mencetuskan tunjuk perasan dalam kalangan rakyat Palestin.

Tembakan itu adalah kejadian terbaharu dalam gelombang pertumpahan darah di Tebing Barat dan Israel ketika umat Islam masih menjalani ibadah puasa, manakala penduduk Yahudi merayakan Passover yang bertindih bulan ini.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Ahmed Ibrahim Oweidat, 20-an, maut akibat kecederaan parah akibat tembakan peluru di kepala.

Pemuda itu disahkan meninggal dunia di Kem Aqabat Jaber berhampiran Jericho.

Dua lagi lelaki cedera akibat tembakan selepas tentera yang ‘menyamar’ menyerbu kem itu semalam, kata agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Tentera Israel dalam satu kenyataan kepada AFP memaklumkan anggotanya menjalankan operasi di Aqabat untuk menangkap suspek yang dikehendaki.

“Ketika operasi dijalankan, berpuluh rakyat Palestin merusuh dan menyerang tentera,” katanya sambil menambah tiada tentera Israel yang cedera.

Sumber: Harian Metro