2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TENTERA ZIONIS PERKUKUH KEHADIRAN DI TEBING BARAT

TAL MENASHE – Tentera rejim Zionis berkata pada Selasa bahawa ia akan memperkuatkan kehadirannya di Tebing Barat selepas seorang penduduk Israel terbunuh di wilayah itu.

Esther Horgan, berumur 52 tahun dan ibu kepada enam orang anak, yang juga mempunyai dua kerakyatan iaitu Perancis serta Israel ditemui mati pada Isnin lalu.

Dia ditemui mati dekat penempatan haram Yahudi Tal Menashe di wilayah Palestin.

Saudara maranya berkata, dia keluar berjoging dan kemudian tidak pulang ke rumah. Pihak berkuasa Israel sedang menyiasat kematiannya berikutan terdapat petunjuk bahawa ibu tersebut telah dipukul.

Setakat ini tiada mana-mana pegawai rejim Zionis mengemukakan bukti yang mengaitkan penglibatan penduduk Palestin dalam kejadian tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar bahawa pasukan keselamatan akan menangkap pembunuh wanita itu secepat mungkin.

Pada Selasa lalu, satu kenyataan daripada pejabatnya menyatakan satu mesyuarat Kabinet yang diadakan telah meluluskan sebanyak AS$12.4 juta (RM50.36 juta) diperuntukkan kepada penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. Sebanyak AS$34.5 juta (RM140.12 juta) lagi diperuntukkan untuk tujuan keselamatan.

Namun, kenyataan tersebut tidak menyatakan tentang pembunuhan wanita berkenaan.

Satu arahan menutup mulut telah dikeluarkan ketika satu siasatan tentang pembunuhan itu dilakukan dengan melarang polis daripada membuat komen tentang mana-mana suspek pembunuh tersebut.

Mayat wanita tersebut kemudian dikebumikan pada Selasa lalu di Tal Menashe dengan sejumlah orang menangis ketika mengiringi mayat Horgan.

Perancis iaitu tempat kelahiran Horgan mengutuk pembunuhan rakyatnya itu dan menganggap pembunuhan tersebut sebagai amat kejam.

Kementerian Luar Perancis berkata, mereka yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Horgan sepatutnya dibawa ke muka pengadilan.

Terdapat kira-kira 450,000 pendatang haram Yahudi di Tebing Barat yang tinggal dalam kalangan 2.8 juta penduduk Palestin.

Dalam isu ini, Serantau Muslim berharap segala yang dirancang pihak tidak bertanggungjawab terhadap tanah air rakyat Palestin akan mengalami kesulitan.

Sumber: Sinar Harian