Info SemasaKenyataan Media

TELAGA GAS INDIA MELETUP CETUS KEBAKARAN BESAR

GUWAHATI, INDIA – Satu kebakaran besar meletus di kawasan lapangan minyak berhampiran lokasi eko pelancongan popular di timur laut India selepas gas yang bocor selama dua minggu itu menyala.

Telaga gas di lapangan minyak dikendalikan oleh Oil India itu mula bocor akhir Mei lalu di Tinsuka, Assam dan syarikat itu mengatakan minggu lalu, keadaan tidak dapat dikawal.

Semalam, letupan berlaku sehingga kelihatan api yang marak serta asap hitam sejauh 10 kilometer daripada lapangan minyak itu.

“Ketika kerja pembersihan dilakukan, letupan berlaku dan petugas kebakaran mengalami kecederaan kecil,” menurut kenyataan Oil India.

Kira-kira 200 jurutera dan pekerja termasuk pakar tiba dari Singapura pada Isnin lalu sebagai usaha membendung kebocoran selama empat minggu itu.

Akibat letupan itu, penduduk kampung lari kerana ketakutan dan lima rumah terbabit dengan kebakaran.

“Situasi sangat teruk. Ia merebak dan saya tahu ini akan berlaku,” kata ahli alam sekitar tempatan, Niranta Gohain.

Ketua Menteri Assam, Sarbananda Sonowal, berkata bomba, polis dan tentera dikerahkan ke tempat kejadian, iaitu 500 kilometer dari timur Guwahati.

Telaga berkenaan menghasilkan 100,000 meter padu gas setiap hari dengan kedalaman 3,870 meter sebelum ia meletup pada Mei lalu.

Kawasan itu hanya satu kilometer dari kawasan eko pelancongan Maguri-Motapung dan 2.5 kilometer dari Taman Negara Dibru Saikhowa.

Pihak berkuasa mewujudkan zon pengecualian sejauh 1.5 kilometer dan sekitar 2,500 orang dipindahkan dari rumah mereka.

Sementara itu, satu siasatan terhadap kematian lima orang dari kawasan sekitar lapangan dilakukan, walaupun pentadbiran daerah mengatakan siasatan awal menunjukkan mereka mati disebabkan oleh sebab semula jadi.

Sumber: Berita Harian