Info SemasaKenyataan Media

TAUFAN AMPHAN MUNGKIN MEMBADAI RAKHINE

YANGON – Pakar meteorologi memberi amaran bahawa taufan besar Amphan yang kini meredah Teluk Benggala dan melanda India serta Bangladesh, mungkin membadai Rakhine di utara Myanmar.

Pakar kaji cuaca, Chit Kyaw, berkata hujan dijangka berlaku di Rakhine dan Chin, bahagian utara wilayah Sagaing, Mandalay, Yangon, Ayeyawady serta Mon semalam dan hari ini.

“Kini, taufan bergerak dari bahagian utara kemudian melepasi India dan sempadan Bangladesh serta mungkin membadai utara Rakhine.

“Kemudian cuaca akan menjadi panas terutama di wilayah tengah Myanmar, yang dijangka terjejas teruk manakala hujan akan berterusan di Mon, Kayin dan Taninthari, sebelum monsun barat daya memasuki kawasan di selatan.

“Diramalkan, taufan besar ini akan bergerak ke kawasan utara dan kemudian merentasi sempadan menghala ke India serta Bangladesh”

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi dan Hidrologi (DMH), Dr Kyaw Moe Oo, berkata taufan kali ini agak besar.

“Sesekali, ombak besar akan berlaku di sepanjang pantai Deltaic, Rakhine. Kelajuan angin badai mungkin mencecah 64 kilometer sejam (kph) hingga 72 kph.

“Tinjauan mendapati, Amphan melintasi West Central Bay di Teluk Benggala dan menghala ke arah timur laut.

“Memandangkan taufan ini belum menghampiri Myanmar, hanya amaran kuning dikeluarkan setakat ini,” katanya.

Tambah beliau, kelajuan angin mungkin mencecah 60 kph dengan ombak setinggi 2.4 meter hingga 3.6 meter di sepanjang pantai Deltaic di Rakhine.

Sumber: Berita Harian