SERANTAU MUSLIM TERUJA MELIHAT SEKOLAH ANAK-ANAK PELARIAN SYRIA
26 Jan 2023: Serantau Muslim yang berada di bumi anbiya’ ketika kini berasa begitu teruja dan terharu melihat pusat pendidikan yang ditubuhkan oleh gabungan NGO untuk anak-anak pelarian Syria.
Menurut laporan yang diterima oleh ahli Misi Untukmu Syria di sana, pasukan Serantau Muslim telah mengadakan lawatan ke beberapa sekolah anak-anak pelarian Syria yang diusahakan oleh NGO seluruh dunia.
Antaranya ialah Aman School yang telah menjadi pusat penyebaran ilmu buat anak-anak muda di sana.
“Serantau Muslim telah dan akan bersama-sama dalam usaha menggerakkan sistem pendidikan buat pelarian Syria”, kata Pengerusi Serantau Muslim.
Ebdaa Centre
Selain daripada itu, ahli misi turut melawat Ebdaa Centre iaitu pusat pendidikan yang dibina buat anak-anak pelarian Syria.
Pusat ini dibina bagi mencungkil bakat-bakat anak pelarian Syria seterusnya memberi latihan dan pembelajaran kepada mereka.
Ebdaa mempunyai beberapa kelas antaranya kelas melukis, kelas menyanyi, kelas mewarna, kelas menjahit, kelas memasak dan sebagainya.
Ternyata anak-anak Syria ini punya kualiti pelbagai. Bakat mereka perlu dilentur dan dimanfaatkan bagi memberi sinar positif untuk masa depan mereka.
Apapun kami semua mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dan semoga anak-anak muda di sana menjadi generasi yang berjaya di dunia dan akhirat!