SERANTAU MUSLIM SALUR BANTUAN MAKANAN ASAS KEPADA MANGSA SERANGAN DI LUBNAN
LUBNAN: Serantau Muslim (SM) terus mempergiat usaha bantuan kemanusiaan melalui pengagihan kotak makanan asas kepada mangsa di pusat-pusat penempatan mangsa di Lubnan yang terkesan dengan konflik semasa.
Program agihan ini dilaksanakan di bawah inisiatif Kempen Bantuan Kecemasan, yang bertujuan memberikan respons segera kepada keperluan asas pelarian.
“Bantuan makanan asas ini merupakan keperluan kritikal bagi pelarian yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Walaupun ia mungkin dilihat sebagai sumbangan kecil, namun ia memberi makna yang besar kepada penerima,” ujar Timbalan Pengerusi Serantau Muslim, Dr Muhamad Azrin Omar.
Kotak-kotak makanan yang diagihkan mengandungi keperluan asas yang boleh membantu pelarian meneruskan kehidupan di pusat penempatan sementara mereka.
Serantau Muslim memaklumkan bahawa agihan bantuan makanan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian bantuan berterusan mereka untuk membantu mangsa-mangsa konflik di Lubnan.
“Kami akan terus komited dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu saudara-saudara kita yang terkesan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada usaha bantuan kemanusiaan ini boleh menghubungi Serantau Muslim melalui saluran rasmi organisasi.