SERANTAU MUSLIM MENGECAM SERANGAN KEJAM ISRAEL KE ATAS HOSPITAL KAMAL ADWAN
Kenyataan Media Serantau Muslim
28 Disember 2024 / 26 Jamadilawal 1446H
Serantau Muslim dengan tegas mengecam serangan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap Hospital Kamal Adwan di Gaza. Tindakan kejam Israel membakar bilik pembedahan, makmal dan gudang bekalan hospital, serta mengarahkan pemindahan paksa 350 orang termasuk 75 pesakit dan 185 kakitangan perubatan, adalah satu jenayah perang yang jelas.
Lebih menggerunkan, serangan ini turut meragut nyawa lima kakitangan perubatan termasuk seorang pakar pediatrik. Hospital yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan dan rawatan telah dijadikan sasaran keganasan tentera Israel.
Hospital Kamal Adwan adalah salah satu daripada tiga kemudahan perubatan utama di utara Gaza yang berulang kali diserang, bersama Hospital Indonesia dan Al-Awda. Tindakan sistematik Israel mengosongkan dan memusnahkan kawasan utara Gaza, termasuk Jabalia, Beit Hanoun, dan Beit Lahiya jelas menunjukkan agenda mereka untuk mewujudkan zon penampan dengan mengorbankan nyawa dan kehidupan rakyat Palestin.
Serangan ini bukan sahaja melanggar prinsip asas kemanusiaan dan Konvensyen Geneva, malah menunjukkan penghinaan terang-terangan Israel terhadap undang-undang antarabangsa yang melindungi kemudahan kesihatan dan orang awam dalam konflik.
Serantau Muslim menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel atas jenayah perang ini. Kita tidak boleh terus membisu melihat pembunuhan beramai-ramai yang telah mengorbankan lebih 45,300 rakyat Palestin dan memaksa perpindahan sebahagian besar 2.3 juta penduduk Gaza.
DR. MUHAMAD AZRIN OMAR
Timbalan Pengerusi
Serantau Muslim