Saintis Jepun mahu ‘cipta’ bayi dalam makmal
TOKYO: Saintis Jepun mendakwa menemui kaedah baharu ‘mencipta’ bayi manusia dari awal di makmal yang dijangka menjadi realiti dalam masa lima tahun lagi.
Menurut laporan Utusan Malaysia, penyelidik di Jepun dilaporkan hampir berjaya mencipta telur dan sperma manusia di makmal dari awal yang kemudiannya akan berkembang dalam rahim buatan.
Saintis Universiti Kyushu, Profesor Katsuhiko Hayashi yang berjaya menjalankan penyelidikan tersebut pada tikus kini percaya beliau memerlukan hanya lima tahun lagi untuk mereplikasi hasilnya pada manusia.
Jelas Hayashi, keupayaan menghasilkan sperma dan telur manusia buatan khas dalam makmal dipanggil in vitro gametogenesis (IVG) dan berfungsi dengan mengambil sel daripada darah atau kulit seseorang sebelum memprogramkannya semula untuk menjadi sel stem pluripoten.
“Secara teorinya, sel-sel ini boleh diambil dari mana-mana sel dalam badan, termasuk sel telur dan sperma untuk digunakan bagi menghasilkan embrio sebelum ditanam ke dalam rahim wanita.
“Para saintis dapat mecipta telur dan sperma manusia yang sangat asas dengan cara ini, tetapi masih belum dapat menghasilkan embrio,” jelas Hayashi.
Hayashi turut percaya dalam tempoh lima tahun pasukannya mampu menghasilkan sel seperti telur daripada manusia dan menganggarkan sekitar 20 tahun lagi untuk menamatkan ujian sebelum pakar perubatan meyakini proses itu selamat digunakan di klinik.
Bagaimanapun, jelas wujud kebimbangan etika kerana wanita dari sebarang umur boleh mempunyai bayi melalui kaedah itu dan ibu bapa mungkin boleh mereka bentuk anak mengikut ciri-ciri tertentu menggunakan alat penyuntingan gen.
Proses itu juga boleh membenarkan individu mencuri asid deoksiribonukleik (DNA) orang lain menggunakan sehelai rambut dan mencipta bayi tanpa persetujuan mereka.
Menurut Mail Online, Hayashi dan pasukannya baru-baru ini mendakwa berupaya mencipta tujuh ekor tikus dengan dua induk jantan menggunakan sel kulit untuk membentuk telur yang berdaya maju dan kemudian menyuburkannya.
Lebih mengejutkan, Hayashi turut memberitahu majalah New Scientist, beliau percaya pintu kini semakin terbuka untuk kanak-kanak dilahirkan daripada dua bapa.
Bagi Serantau Muslim, ia adalah satu proses yang membinasakan keturunan sesebuah keluarga kerana proses ini menjadikan manusia tidak kenal siapa ibu bapa sebenar dan dikhuatiri akan memudaratkan sejagat. Didoakan agar semua manusia di muka bumi ini kembali kepada fitrah dan menjaga nasab keturunan masing-masing dan mempraktikkan norma-norma sebagai manusia yang normal serta dijauhi dari segala penyakit yang tidak diingini.