26af3d5f-847a-46fc-a5cd-ba94b594a74c.jpg
Info Semasa

PM Palestin selar tentera Israel bunuh remaja 14 tahun

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye, semalam menyelar tindakan tentera Israel membunuh remaja berusia 14 tahun di Abu Dis di tenggara Baitulmaqdis, lapor Xinhua.

Agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan, Ishtaye memberi amaran mengenai kesan bahaya peningkatan pembunuhan dan kematian di lapangan yang dilakukan tentera Israel di wilayah Palestin.

Saksi warga Palestin memaklumkan, remaja itu, Yamen Jaffal, cedera parah selepas ditembak tentera Israel dalam pertembungan dengan penunjuk perasaan Palestin, selepas askar Israel menyerbu bandar Abu Dis untuk menahan aktivis Palestin.

Katanya, pihak tentera menghalang ketibaan ambulans Palestin dan menahan remaja itu walaupun mangsa berada dalam keadaan kritikal, sebelum Jaffal meninggal dunia.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan dua warga Palestin melempar bom botol Molotov ke arah pos tentera Israel di kawalan itu.

Tentera Israel kemudian melepaskan tembakan ke arah kedua-dua individu berkenaan, dengan seorang daripadanya cedera, manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

Terdahulu, seorang lagi remaja warga Palestin berusia 19 tahun dibunuh polis Israel di Baitulmaqdis Timur, selepas dia didakwa cuba menikam dua anggota polis Israel, menurut Radio Israel.

Sumber: BH