2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
8b0e26aa-49b1-4f99-9968-6321f0ebc40c.jpg
Info Semasa

Konflik Ukraine-Rusia: Malaysia ambil pendirian wajar

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil pendirian wajar dengan meminta semua pihak dalam konflik Ukraine-Rusia menghentikan permusuhan dan mencari penyelesaian diplomatik, kata seorang penganalisis pengurusan krisis.

Nordin Abdullah berkata, meskipun Malaysia tidak mengutuk Rusia mahupun mengenakan sekatan, ia tetap menyuarakan pendirian dengan mengambil kira teras kepentingan strategik semua pihak terbabit.

“Konflik Ukraine dan Rusia menjadi punca kebimbangan global dan Malaysia mengambil pendirian yang wajar dalam hal ini sejak awal lagi.

“Dan hakikat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia) sentiasa menyatakan keperluan untuk penyelesaian diplomatik dalam (isu) ini sebenarnya adalah cara terbaik ke hadapan,” katanya pada Khamis dalam segmen krisis harian Bernama TV “The Brief”, dihoskan oleh Penerbit Eksekutif Bernama TV Gerard Ratnam.

Ismail Sabri pada Sabtu lalu berkata setiap usaha perlu dilipatgandakan untuk mencari penyelesaian secara aman dan damai bagi konflik Ukraine-Rusia.

Perdana Menteri berkata Kuala Lumpur menggesa semua pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah segera untuk mengurangkan dan mencegah kehilangan nyawa dan kemusnahan.

Nordin berkata Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang terkenal dengan diplomasi dan pendirian teguh dalam sebarang konflik, terutamanya berkaitan konflik Israel-Palestin.

“Malaysia berada di landasan yang betul dan akan terus memberi tekanan yang diperlukan,” tambahnya.

Sumber: Sinar Harian