WhatsApp Image 2024-03-12 at 11.51.55 AM (1)
Uncategorized

Penduduk Palestin dihalang solat tarawih di Masjid al-Aqsa

Pihak berkuasa Israel menggunakan kekerasan melampau ke atas ratusan penduduk Palestin yang mahu memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) di Baitul Maqdis untuk menunaikan solat tarawih pada malam Ahad.

Sinar Harian memetik laporan Agensi berita Wafa melaporkan rejim Zionis bertindak menghalang golongan itu di pintu masuk al-Aqsa hingga mencetuskan insiden pertempuran.

Rakaman video yang menjadi tular menunjukkan anggota keselamatan Israel turut memukul penduduk Palestin dengan baton ketika mengusir mereka.

Di bawah sekatan baharu itu, hanya wanita berusia 40 tahun ke atas dibenarkan untuk mengerjakan solat tarawih manakala larangan dikenakan ke atas lelaki muda Palestin.

Bagi menghalang penduduk Palestin melaksanakan ibadah sepanjang bulan suci, rejim Tel Aviv bertindak mengeluarkan puluhan perintah deportasi ke atas komuniti tersebut di Baitul Maqdis.

Sebagai respons terhadap insiden keganasan terbaharu itu, gerakan Jihad Islam dengan tegas mengeluarkan amaran Israel sengaja ‘bermain dengan api’.

“Kami tidak akan berdiam diri dengan sekatan ketat tersebut,” ujarnya.

Pada akhir bulan lalu, gerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza memberi peringatan jelas tentang konflik baharu jika rejim Tel Aviv meneruskan pelan jahat dengan menghalang kemasukan penduduk Palestin ke al-Aqsa sepanjang Ramadan.