2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PELARIAN TERUS MENYEBERANG SEMPADAN TURKI KE EROPAH

ISTANBUL, 9 Mac 2020: Ribuan pelarian cuba untuk menyeberangi sempadan dari Turki ke Eropah walaupun dihalang pihak berkuasa dan pengawal pantai Greek.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu berkata lebih 143,000 imigran direkodkan melepasi sempadan Turki ke Greece melalui wilayah Edirne.

Bercakap kepada pemberita di wilayah timur Turki di Elazig semalam, Soylu berkata, Sungai Evros yang memisahkan dua negara kini menjadi laluan utama pelarian untuk menyeberang ke sempadan.

“Sekarang cuaca semakin panas. Paras air sungai jatuh ke 40-45cm di beberapa tempat dan ini bermakna mereka dapat menyeberang sungai dengan mudah,” kata menteri itu dipetik agensi berita Xinhua.

Sementara itu, campur tangan pihak keselamatan Greek bagi menghalang pelarian ke negara mereka diteruskan di sempadan Pazarkule, demikian menurut seorang saksi.

“Mereka menembak meriam air dan gas pemedih mata sepanjang hari untuk menghalau pelarian kembali ke Turki,” kata saksi itu melalui telefon kepada Xinhua.

“Polis Turki turut menembak gas pemedih mata sebagai reaksi balas kepada tindakan pihak berkuasa Greek bagi menyokong kumpulan pelarian,” dakwa saksi itu.

Kumpulan pelarian turut meneruskan usaha mereka menyeberang ke Eropah melalui jalan laut.

Sekurang-kurangnya 177 pendatang tanpa izin diselamatkan Pengawal Pantai Turki dalam insiden berbeza di pantai Aegean Turki dua hari lalu.

Insiden itu berlaku di wilayah barat Aydin, Mugla dan Izmir selepas Pengawal Pantai Greek menolak bot membawa pendatang kembali ke Turki.

Laut Aegean merupakan laluan utama bagi pendatang yang cuba memasuki Eropah melalui Turki. Perjanjian ditandatangani di antara Ankara dan Kesatuan Eropah (EU) pada Mac 2016 bagi membendung migrasi secara haram.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pihak berkuasa Turki menahan seramai 60,802 pendatang tanpa izin dari menyeberang ke Greece melalui Turki tahun lepas, demikian menurut data dikeluarkan Pengawal Pantai Turki.

Pada 28 Feb lalu, Turki berkata ia tidak akan menghalang pendatang tanpa izin dari pergi ke Eropah kerana tidak mampu lagi menampung beban lebih 3.7 juta pelarian di wilayahnya.

Sumber: Berita TV Al-Hijrah